Monday, 26 November 2018

Pengalaman dan Kepakaran, Kenapa Saya Berhenti Bekerja

Teks: Maslizatul Ayu 

Tidak pernah terdetik, mahupun terlintas yang saya akan berhenti kerja dan berkhidmat sepenuhnya buat keluarga kecil saya sebagai seorang suri rumahtangga sepenuh masa. Saya seperti anda semua, punyai impian selepas graduasi mahu bekerja dan sambung pelajaran sehingga lah ke tahap yang tertinggi. Tamat sahaja belajar di Universiti Islam Antarabangsa dalam jurusan psikologi saya sempat bekerja selama dua tahun sebagai pengurus di salah sebuah syarikat swasta.

2016, Saya bergelar suri rumah, sesuatu yang tidak pernah terdetik pun dalam fikiran. Ianya adalah asbab ilmu dari Tuhan. Sebelum nekad untuk berhenti daripada jawatan Pengurus Pusat Tuisyen Ibu Hamil Al Baghdadi, dua tahun memegang jawatan ini. Saya mengembara ke utara, ke selatan, ke timur dan ke barat mengikuti tim bagi menyebarluaskan ilmu pendidkan al-Quran sejak dari dalam kandungan. 

Memegang Ijazah Sains Kemanusiaan (Psikologi), berbekalkan semangat, ilmu yang ada dijadikan amalan. Saya seorang insan yang cuba untuk memahami setiap keadaan, jarang sekali memikirkan nasib badan, sukar untuk mengatakan tidak, hingga akhir sekali penat badan,penat minda dan penat emosi sehingga menganggu fikiran. Siang malam bekerja keras, demi menyempurnakan setiap tugasan. 

Sebelum bergelar suri rumah. Anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Memori kisah hidup dari zaman kanak-kanak seolah-olah banyak yang sudah terpadam. Lebih banyak ingatan yang sangat menyakitkan. Saya bukanlah anak yang cemerlang, akan tetapi anak yang naif dan banyak memberi bantuan. Disanjung tinggi oleh Emak dan Ayah kerana anak ini sahaja yang bergelar graduan ketika itu. 

Akan tetapi, pahit getir dirasai dari zaman sekolah rendah, dipulaukan oleh kawan-kawan. sungguh tidak pasti, apakah punca ini terjadi. Anak yang periang dan lincah bertukar karektor menjadi seorang yang pasif dan suka menyendiri. Emak dijadikan kawan rapat, mencipta mental blok, tiada kawan pun tidak menjadi masalah buat diri. 

Anak sulung yang manja, apa sahaja keinginan diberi sahaja. Tapi saya lupa, dan tidak diberi ingatan akan bagaimana harusnya saya mengemudi lautan kehidupan. Yang hairan nya, kawan yang memulaukan itu, semuanya perempuan. Apakah sebabnya wahai Tuhan? 

Saya dibesarkan di kawasan perumahan setinggan. Ayah seorang tentera darat, Emak pula seorang suri rumah sebelum bergelar usahawan. 
Cara Ayah mendidik kami penuh dengan kata-kata yang kurang enak didengar, masih ingat lagi ketika saya memasuki alam remaja, memerlukan kawan sebagai tempat luahan. Takut akan ayah, jadi lah saya seperti katak bawah tempurung tidak bersosial dengan kawan-kawan. 

Tahun 2013, pindah perumahan flat, sama juga keadaan. Personaliti introvert terus menebal dalam diri. Kajian membuktikan bahawa ayah memainkan peranan besar dalam perkembangan anak-anak dan mendapati kurang mengalami masalah disiplin, dan tidak terganggu dengan kemurungan. 

Kata orang, anak perempuan ini perlu rapat dengan ayah, saya tidak berpeluang kerana ayah garang yang amat. Mungkin ayah dibesarkan oleh orang tua yang hidup zaman penjajahan jadi kurang perasaan. 

Sedangkan saya yang tidak faham, sebenarnya cara ayah melontarkan kasih sayang berbeza dengan cara emak. Ayah pastinya perlu menunjukkan ciri-ciri ketegasan.

Masih ingat lagi, keputusan peperiksaan sentiasa merah sahaja. “Bodoh! Bangang! Soalan senang macam ini pun hang tak mampu jawab ke? Kata Ayah”. 

Ilmu Hisab, Ilmu Al-Quran, Ayah lah guru nya. Berbekas di kepala menahan peritnya balingan atau ketukan dari jari. Mahu mengaji al Quran, sudut paling hujung jadi pilihan. Baran sekali ayah dalam memberi pelajaran.

Belum dikira lagi, pulang bermain, sebelum Maghrib. Bulu ayam menjadi sebatan andai ingkar arahan. Sekali dengan bulu ayam itu saya sorokkan. Ketawa memikirkan. Nakal juga saya ini ya? 

Hidup saya banyak ikut-ikutan, hanya emak dan novel menjadi rakan. Ayah pula dijadikan idola dalam kehidupan. Kerana ayah yang terbaik untuk pilihan masa depan. Rindu senyuman ayah, lihat saja wajahnya apabila diletakkan puntung rokok di bibir merah bak delima merekah.

Biarpun bertahun hidup dengan kata-kata kurang enak dari bibir ayah, saya layankan. Kerana cara ayah yang tegas, panas baran itu menunjukkan kasih dan sayang. saya tidak mengganggap itu sebagai kebencian bahkan semangat. 

Ada sekali, memerhati seorang kawan menaiki pentas terima anugerah kecemerlangan. Dari situ, saya berimpian dan berangan, mahu memijak pentas yang sama dan menggulung anugerah yang bersesuaian.

Tahun 2004 dan 2005 menjadi saksi, Perpustakaan Negara senantiasa dikunjungi berbekalkan tekad di hati. Buku rujukan memenuhi sudut bilik, waktu tahajjud dijadikan waktu menyendiri dan mengulangkaji. 

Emak memerhati dan ikut sahaja apa yang diingini. Kerana beliau senantiasa menyokong dan mengerti. Slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini ditangan, menapak laju untuk di bawa pulang sambil senyum puas kegirangan.

Hati gembira bukan kepalang. diserahkan kepada ayah slip keputusan. Ayah melihat dan kelihatan matanya penuh sinaran. Lantas saya suarakan, “Ayah..Ayu tak bodoh kan? Ayu tak bangang kan ayah? ayah hanya mengangguk tanda mengiyakan. 

Bermula lah episod kehidupan, saya disanjung dan disayang. Apa jua keputusan melanjutkan pelajaran, saya yang tentukan, kerana ayah merelakan kerana percaya akan kebolehan.

Ayah ternyata silap! saya insan yang tidak pandai dalam memberi dan membuat keputusan. Saya berjumpa mereka yang arif, bertanyakan soalan dan sesuai apa jurusan. Setelah mendengar pendapat, Saya memilih untuk menyambung jurusan Sains Kemanusiaan (psikologi) kerana saya ingin mengenali diri dan memahami sekeliling yang mengganggu jiwa dan fikiran. Asbab trauma masa silam.

Tahun 2009 mendaftar diri di Matrikulasi, Tahun 2013 memegang Iijazah yang dihajati. Dilema mencari diri dalam erti kata mengenal diri masih menganggu lagi. Kawan-kawan semakin lama semakin menjauhi. Asbab dari diri yang tidak suka bercampur, buang masa mendengar cerita itu ini yang sekadar berbasa basi. 

Saya pun melangkah ke dunia luar cuba untuk mencabar diri. Siswazah lain aktifkan diri dalam persatuan , Saya pula aktifkan diri keduanya termasuk dalam dunia pekerjaan sampingan. 


Diterima sebagai tutor persendirian mengajar KAFA dan Al-Quran .Emak sanggup sponsor motorsikal buat kemudahan.Menambah sijil mengajar al-Quran dan juga Tajwid agar menjadi sandaran apabila wujud pertanyaan. Teknik Al Baghdadi menjadi pilihan. Jiwa Ayu tidak tenang, biarpun wang banyak di tangan. Rupanya tidak dibahagikan.

Ayah mula mendalami ilmu tasawwuf,ilmu hakikat, ilmu makrifat, dan ilmu taareqat sebagai panduan dalam kehidupan. 

Tahun 2000-2017 segar masih di ingatan. Ayah banyak berkongsi ilmu agama yang dipelajarinya. Di minta buka kitab dan baca tafsiran,tadaabbur setiap ayat. Saya, Emak dan adik-adik khusyuk menerima setiap syarahan. Syukur ke hadrat Tuhan, saya bisa memanfaatkan.

Emak punyai darah berniaga, seorang yang peramah dan mudah mesra. Membantu emak menjual kerepek dan kek pisang setiap pelosok kampung saya gagahi jua. Laungan, “Cik, nak beli kek pisang dan kerepek?, tanya saya” Ini kisah semasa masih sekolah rendah. Mungkin ini asbab kawan-kawan memulaukan, kerana malu berkawan dengan penjual jalanan. Rezeki 9/10 kan datangnya dari perniagaan.

Ditambah lagi, emak asah bakat menjual, diletakkan saya paling hadapan. Berniaga di Baazar Ramadhan, saya membantu Mak Long menjual puluhan jenis kuih muih sehingga di lamar Rancangan Radio Malaysia (RTM) untuk buat liputan akan tetapi ditolak kerana tak punya kekuatan. Rugi bila difikirkan, sia-siakan peluang. 

Awal Safar 2010, Emak mengumpul kekuatan, buka sendiri perniagaan kecil-kecilan sehingga kini usahawan perniagaan makanan. Melihat jerih payah seorang usahawan, saya tidak memasang impian untuk membuka perniagaan makanan. 

Tamat Ijazah, buka pusat pembelajaran Al Quran Teknik Al Baghdadi, memikirkan mungkin ini yang di cari. Enam bulan sahaja beroperasi, menerima lamaran Ibu Pejabat Al Baghdadi menjawat jawatan Pengurus Pusat Tuisyen Ibu Hamil Al Baghdadi. Sepanjang perjalanan bekerja, banyak yang tidak mencapai kepuasan diri.

Dilema mencari dan terusan mencari. Oh, rupa nya saya tidak mengenal kekuatan diri. Terus bermonolog sendiri, apa yang dicari? Bicara hati didengar Tuhan, dibuka pintu jalan apabila berhadapan dengan dugaan. Kelas Gerak dan Reformat Diri antara kelas yang didaftarkan. Dr Ahmad Yusri, guru perantara, maka bermula episod mencari ketenangan dalam mengenal diri yang paling dalam.

Tahun 2015, semakin rancak menggali ilmu mengenal diri. Dengan berilmu, mendidik diri lebih matang mendepani situasi. Ketika ini, sedang sarat mengandung puteri pertama. Aktif menganjurkan latihan dan pengurusan buat pengusaha dan guru-guru pusat pembelajaran. 

Tinggi penghayatan, kandung bayi dalam kandungan, baru lah memahami setiap isi modul ransangan Pendidikan al-Quran yang diusahakan bersama tim untuk dipersembahkan.

Kisah silam penuh dengan kecederaan emosi, menjadikan saya hidup terlalu ikutkan emosi. saya hadir kelas reformat diri kerana mahu buang segala pahit dan sakitnya memori. Dari kelas ini, belajar memaafi dan berserah diri. 

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasulullah bersabda; Sesungguhnya Allah berfirman : Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia MengingatKu…” (Ibnu Majah). Hadith ini dijadikan panduan hidup terus ke hadapan.


Mei 2015, saya mengikuti kursus sebagai konsultan cap jari. Lebih fokus kepada mengenalpasti potensi dan bakat semulajadi. Tuhan itu sungguh memahami. Bukankah diri minta untuk mengenal diri dan bakat semulajadi?. 

Ogos 2015,Fatihah Maisarah lahir ke dunia,  berbekalkan ilmu-ilmu yang telah dipelajari, bersedia untuk sepenuh masa menjadi Umi, nekad apabila tidak mempercayai pengasuh di taska dan nurseri. Tidak menyangka makan diri sendiri.

Tanggungjawab sebagai suri rumah sepenuh masa, bukan mudah. Perlu kuat dari segi mental,fizikal dan emosi. Saya fikir boleh kawal emosi sendiri, diuji anak demam, terduduk sendiri. Kemurungan melanda selama setahun. 

Sehinggalah saya bangkit, meletakkan diri di tahap paling rendah sekali, menadah tangan memohon bantuan Tuhan. Syukur punyai suami yang sudi menjadi pendengar setia di kala hati rawan. Tingkatkan pembacaan dan cari kawan-kawan positif.

Hidup sebelum ini terbiasa ada duit di tangan, sering boros dengan wang poket yang suami hadiahkan. Tidak menyangka dalam diam, emak memendam, anak yang disanjung akhirnya memilih untuk tidak bekerja, asuh anak-anak sahaja. 

Maka, Saya pun bergiat aktif mengembara bersama fatihah dalam membantu memodalkan pembangunan insan dengan topi konsultan. Demi memikirkan mahu menyempurnakan hajat emak untuk beri penghargaan.

November 2017, Aina Marissa lahir. Turun naik perniagaan, tidak mampu untuk beri emak ayah wang saku bulanan. Terus merasa diri tidak berguna, sekali lagi, Saya beremosi! Sungguh pedihnya di hati, apabila terlalu memikirkan seorang anak tidak mampu untuk berbakti. 

28 April 2018 Ayah pergi dijemput Ilahi, tersungkur menyalahkan diri. Saya sibukkan diri menggali ilmu, supaya tidak ikutkan emosi. Syukur ketenangan dapat dicari dan menerima takdir Ilahi.

Amanah menjadi suri, membesarkan dua orang puteri. Saya tetap teruskan misi, menjadi Suri bekerjaya dari rumah sambil mengasuh,mendidik anak-anak yang masih kecil lagi. Saya yakin, rezeki Allah itu pasti.

Mudah-mudah misi berbakti buat emak dan keluarga yang masih ada, Allah makbulkan dilapangkan rezeki buat saya selapang-lapangnya dari kurniaan rezeki yang tidak disangka-sangka. Menjadi suri, memberi kelapangan masa untuk saya berbakti dengan amanah yang Allah beri dalam hidup ini.y

Aamiin ya rabbal alamin 











3 Tips Anak Amalkan Zikrullah sebagai lagu harian

Teks: Maslizatul Ayu

Hati umi mana yang tidak girang apabila melihat anak-anak menjadikan zikir sebagai lagu harian tatkala tergerak untuk melafazkan nya. Pendekatan yang dilakukan saban hari tanpa jemu adalah umi mengawal setiap siaran yang mahu dipertontonkan buat anak-anak di rumah. Usaha ini membuahkan hasil yang sangat mengujakan dan tempoh masa yang diambil dari anak usia 0 tahun sehinggalah anak sudah pandai bercakap.

Tips yang ingin dikongsikan adalah bagaimana cara anak-anak mampu membasahkan bibir dengan zikrullah tanpa paksaan:

1. Umi dan Ayah sebagai contoh utama

Saya sentiasa set kan dalam diri, mahu anak-anak lafazkan zikir di mana jua tidak kira masa. Maka, saya suka ambil peranan setiap kali mahu tidurkan anak-anak, zikir fatimah dan beberapa lagi jenis zikir saya akan lagukan sehinggalah anak tidur. Tidak ketinggalan ketika memandu dan duduk sahaja sambil peluk anak-anak saya bisikkan di telinga dendangkan zikir tanpa jemu.

2. Menegur anak, lafazkan istighfar. Takjub akan kebesaran Allah lafaz Hamdalah, Masya Allah dan Subhanallah.

Setiap kali saya geram akan sikap anak-anak, selain dari menyebut ‘anak bertuah’, saya akan tinggikan intonasi perkataan istighfar “Astaghfirull ah al a’zim”. Maka anak-anak akan kenalpasti setiap perkataan yang saya sampaikan membawa mesej-mesej yang tertentu. Perkataan istighfar, tahu lah  mereka yang saya sedang marah.

Wow cantik nya! Saya tukarkan kepada Masya Allah, Subhanallah cantiknya pelangi itu!

3. Simpan zikir-zikir dan surah dalam pendrive dan TV Al Hijrah

Sejak mempunyai dua orang cahaya mata, saya semakin kurang membuka siaran kegemaran di televisyen. Hal ini kerana saya mendapati lebih banyak lagha berbanding manfaat melainkan ada juga siaran yang sarat dengan ilmu. Pilihan saya kebanyakan nya TV1 dan TV Al Hijrah. Anak-anak 0-3 tahun ini hanya ikutkan sahaja apa yang diberikan, tidak banyak karenah.

Maka,pembelajaran yang saya mahukan buat anak-anak telahpun dipilih dan tugas saya mainkan sahaja berulangkali, secara tidak langsung saya sendiri semakin hafal setiap zikir dan surah-surah dalam al Quran. Syukur suami pun jenis yang tidak gemar melanggan Astro sekadar sediakan box freeview siaran digital tersebut, dapatlah saya masukkan pendrive dan mainkan berulang kali.

Tempoh masa yang saya selalu ambil untuk mainkan zikir ialah sehari 3 kali, ulangan nya sebanyak 7kali. Walaupun anak tidur saya tetap pasang akan ttetapi volume diturunkan sekadar mendayu-dayu sahaja zikir dan surah-surah tersebut. Saya yakin akan kehebatan minda separa sedar yang Allah berikan kepada kita. Anak-anak kecil sibuk bermain, dan ibarat saya memberi makan buat otak mereka dengan mendengar ayat-ayat Allah.

Video dibawah ini saya sempat rakamkan sekejap, banyak moment yang saya terlepas untuk merekodkan. Fatihah Maisarah dalam video ini berusia 3tahun 3bulan, ketika menunggu saya untuk meneruskan pemanduan, beliau dendangkan zikir secara spontan. Bilamana saya katakan saya tidak dengar, suara beliau semakin perlahan. Malu agak nya apabila tahu saya mahu rekod. Hihi..bertuah anak ini.












Wednesday, 21 November 2018

Panduan Mengajar Mengaji untuk kanak-kanak

Teks: Maslizatul Ayu

Anak-anak, andai seawal usia diterapkan dengan ayat-ayat Allah, Insya Allah penerimaan untuk ilmu laduni lebih mudah selepasnya. Doa, usaha dan tawakal kerana setiap dari anak punyai penerimaan pembelajaran yang berbeza-beza. Akan tetapi, fitrah anak kecil suka bermain dan tidak suka duduk setempat amatlah mencabar. Bagaimana mahu didik anak mengaji macam ini, pucuk pangkal adalah dari diri kita sendiri.

Mendidik anak-anak dari 0-6 tahun ini perlukan kesabaran yang maksimum. Tambahan lagi, sebagai tenaga pengajar, kita perlu turunkan level kita dari dewasa kepada level kanak-kanak dan masuk ke dalam dunia mereka. Anak-anak mahu berlari, kita pun berlari. Anak-anak mahu melompat, kita pun melompat. Asalkan objektif belajar sambil bermain tercapai. Ketika usia begini, banyak perkara yang kita tidak akan dapat duga sekalipun, tetap istiqomah dalam mencapai objektif.

Panduan Mengajar.

1. Urus Emosi

Sebagai Umi dan juga tenaga pengajar anak-anak usia 0-3 tahun ini benar-benar menduga kesabaran. ketika anak-anak usia ini, daya fokus mereka adalah sekejap pada satu-satu perkara. Usah mimpi apa yang kita ajar hari ini anak-anak akan dapat ingat hari ini juga. Maka, saya perlu urus emosi dan berkata dalam diri bahawasanya kita sedang menabur benih, taburlah benih dan bajakan dengan baja yang baik supaya tuaian nya nanti tuaian yang terbaik, Insya Allah


2. Waktu yang terbaik

Pastikan semasa mahu mengajar mengaji, anak-anak dalam keadaan yang selesa. Anak-anak sudah diberi makan, sudah bersih dan mandi, tidak penat dan bukan waktu mereka tidur. Saya ambil pendekatan waktu yang terbaik adalah waktu dhuha, waktu selepas asar dan waktu selepas maghrib. Ada juga saya terlepas untuk mengajar, dalam seminggu memadai saya meletakkan target 3-5 hari untuk mengajar anak mengaji.

3. Pujian Melangit vs Marah

Anak-anak suka andai kita memuji akan kesungguhan mereka ikut apa yang kita ajar. Pujian melangit ini saya tumpu kepada usaha anak bukan anak itu sendiri. Teknik pujian atas usaha ini saya pernah terbaca dalam bacaan mendorong anak menggunakan gaya nabi. Anak yang dipuji usaha nya tidak akan mudah kecewa jika mereka kurang usaha, berbeza jika kita memuji anak itu sendiri yang mana akan mengganggu keyakinan mereka andai mereka berhadapan dengan kegagalan.

Semasa mengajar, umi akan bertukar menjadi singa andai anak-anak tidak ikut dan banyak main selain dari pelajaran mengaji ini. Maka saya akan tegur dan nasihat dengan penuh hikmah akan peri pentingnya mengaji ini.

4. Bahan Bantu Mengajar

Pendekatan yang saya guna bukan sekadar duduk mengaji menghadap buku sahaja, ada ketika saya akan menukar peranan anak pula sebagai guru dan saya sebagai murid. Bahan bantu mengajar perlu ada dalam setiap rancangan mengajar harian. Ada ketika melagukan, ada ketika belajar sambil lompat itik lompat bintang , ada masa menggunakan kad imbasan, alat ketuk dan teknik bercerita ikut kesesuaian pelajaran pada hari tersebut.

Belajar sambil bermain lebih mudah untuk diingati berbanding belajar duduk dan fokus tetapi fikiran melayang ke tempat lain. Anak kecil ini penuh dengan daya imaginasi dan kreatif, usah dibunuh daya kreatif mereka itu dengan menghadkan ikut kemahuan kita. Pelbagai kaedah dan teknik belajar mengaji di pasaran yang boleh digunakan, saya sekadar guna teknik al baghdadi dan iqra' dalam mendidik anak mengaji di rumah.

5. Istiqomah

Anak-anak lebih bersemangat apabila kita juga turut serta. Saya perlu istiqomah untuk mengajar anak-anak adalah dengan cara setiap kali ada masa sahaja anak-anak berada bersama, saya akan terus melagukan zikir atau surah-surah pendek. Semasa memandu, semasa tidurkan anak selalunya masa yang saya curi untuk mereka mengulang semula pelajaran yang telah pun dipelajari. Paling ketara saya dapat lihat hasil adalah ketika fatihah masuk usia dua tahun, beliau melagukan setiap zikir yang saya ulang setiap hari.

Paling saya suka untuk raikan anak dengan mengajar mereka adalah memperuntukkan selepas solat setiap lima waktu adalah waktu anak-anak akan mengaji. Masa yang diambil memadai kurang dari lima minit, selalunya lima saat sahaja yang bertahan. Anak-anak ketika usia ini mudah lari tumpuan, lima saat dapat memperkenalkan huruf-huruf al Quran pun sudah memadai. Saya dapat lihat, konsisten saya lakukan selepas solat, selepas itu anak-anak akan ambil sendiri buku yang mereka mahu baca dan tunggu saya selesai solat dan minta untuk dibacakan.

Seharian di rumah, saya sebolehnya akan tutup siaran televisyen dan buka surah-surah dan zikir-zikir sebagai halwa telinga anak-anak. Proses pengulangan berkali-kali ini adalah latih tubi pengukuhan buat anak-anak. Apabila masa bersama saya, saya akan manfaatkan sebaik mungkin. Apabila di luar, saya hanya mampu berdoa agar anak sentiasa dilindungi dari faktor luar yang memudaratkan.

6. Doa, Usaha dan Tawakal

Serah bulat-bulat kepada Allah atas setiap usaha kita ke atas anak-anak. Usah letak pengharapan, akan tetapi disiplinkan diri atas apa yang kita mahukan ke atas anak. Melentur buluh biarlah dari rebung, doa diiringi dengan tawakal tanpa henti. Man jadda wa jadda, semuanya atas izin Allah jua. Pandai mengaji pun dari Allah jua, kita doa supaya anak terang hati. Doa ibu ayah ketika anak usia masih kecil ini insya Allah mujarab.







Tips dan Cara Ajar Anak Mengaji Untuk Ibu Hamil

Teks : Maslizatul Ayu

Anak-anak kecil,  otak mereka ibarat span yang mampu menyerap apa sahaja yang dipelajari daripada persekitaran. Hatta dari alam rahim lagi anak-anak sudah pun terdedah dengan persekitaran selama 9 bulan 10 hari. Disebabkan ini lah ibu-ibu hamil amatlah disarankan untuk melihat, mendengar dan berkata yang baik-baik kerana bayi dalam kandungan juga turut merasai yang sama. Baik yang di asuh, maka baik lah hasil nya begitu juga sebaliknya.

"Tidak ada seorang bayi melainkan ia dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapa merekalah yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nasrani atau Majusi"

Sabda baginda di atas sangat penting dalam menentukan perkembangan ke atas anak-anak yang boleh ibu dan bapa corakkan sedari kecil. Kajian sains mendapati kapasiti otak anak-anak apabila mencecah usia dua tahun iaitu 80% menyamai orang dewasa. Ini membawa maksud, sedari bayi lagi kita sebenarnya digalakkan mendidik anak-anak dengan pendidikan awal yang mahu kita terapkan buat mereka, kerana anak-anak mampu menyerap banyak maklumat. Rugi pula andai tidak dimanfaatkan.

Saya tersentak dan terpukul apabila membaca kata-kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah ini; "Barangsiapa yang sengaja tidak mengajarkan apa yang bermanfaat kepada anaknya dan meninggalkannya begitu sahaja, bererti dia telah melakukan suatu kejahatan yang sangat besar. Kerosakan pada diri anak kebanyakannya datang dari ibu bapa yang meninggalkan mereka dan tidak mengajarkan kewajipan-kewajipan dalam agama serta sunnah-sunnah nya"

Asbab ini, saya rasa ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya atas anak sebagai amanah yang akan dipertanggungjawakan di akhirat nanti. Apa yang saya pelajari, saya amalkan sejak anak-anak dalam kandungan lagi. Rata-rata ibu bapa hari ini ingin anak-anak nya menghafal al Quran dari awal usia, bagi saya pula saya perkenalkan dahulu surah al Fatihah, zikir-zikir pendek dan barulah juzu amma. Sebelum terapkan buat anak-anak, saya perlu jadi contoh utama sebagai cerminan yang boleh anak-anak duplikasi.

Saya kongsikan tips ajar anak mengaji dari kecil yang saya konsisten buat sejak saya ketahui saya hamil. Suka untuk saya ingatkan, apa yang ibu dengar, lihat dan rasa, anak dalam kandungan juga turut mendengar, melihat, merasa sepertimana ibunya.

1. Niat

Niat adalah akar dalam setiap tindakan. Niatkan buat sesuatu itu kerana Allah. Sepanjang proses mendidik bayi dalam kandungan, saya akan niatkan lillahi taala dan pengharapan pada Allah semata-mata. Semua yang berlaku atas kehendak Nya, saya hanya berusaha dan tidak meletakkan apa-apa pengharapan kepada manusia. Niat sebegini mendidik saya agar tidak kecewa dan memaksa anak-anak. Saya jalankan tanggungjawab sebagaimana fitrah yang anak perlukan.

2. Bangun Tidur

Sambil usap perut, saya akan memberi salam pada bayi dan berbual. contoh ayat saya begini setiap pagi berbual dengan bayi saya, " Assalamualaikum anak umi, apa khabar anak umi pagi ini? Alhamdulillah, Allah izinkan kita bernafas lagi pagi ini. Mana anak umi ni, mari sini umi cari nadi anak umi ni." Usia kandungan 1-4 bulan, ibu-ibu mungkin belum dapat rasa kehadiran anak, tapi tetap teruskan kerana anak mendengar. Apabila usia kandungan 4-9 bulan, ketika ini kita akan dapat rasa denyutan nadi yang kuat, dapat rasa tendungan anak,pergerakan anak, ketika ini Masya Allah semakin kuat perasaan ibu ingin berbual-bual boleh ditingkatkan.

Ceritalah perkara yang baik pada bayi, kongsikan sesuatu yang beri manfaat berterusan. Bayi sedang belajar dari apa yang kita tunjukkan cuma bayi tiada depan mata sahaja. Semakin kerap kita berbual sambil mengusap perut, semakin tinggi bonding dan semakin kuat kita akan dapat respons anak mendengar dari hint 'tendangan anak'. Saya beri contoh, saya mengajar anak mengaji , selesai ayat pertama saya akan tanya anak dan usap perut, "Sayang umi, andai sayang dengar dan dapat apa yang umi ajarkan ini, respon dengan menendang sekali". Kali pertama mungkin kita tidak mendapat sebarang reaksi, kekerapan pengulangan setiap hari mengajar anak, InsyaAllah ibu akan rasa seronok sekali apabila anak respon yang beliau menerima.

Cuba lah ya!

3. Pasangkan zikir sepanjang masa di mana jua sejak anak dari dalam kandungan

Semasa saya hamil, setiap pagi dan petang saya akan pasangkan cd zikir terapi oleh Hafiz Hamidun. Kekerapan saya memasang cd ini setiap hari pergi dan pulang dari kerja dan cd ini akan dimainkan sehinggalah sampai destinasi yang dituju. Ayat-ayat Allah dari zikir ini berupaya mendidik diri tenang dalam apa jua situasi. lagipun zikir-zikir ini bagi saya adalah sesuatu yang ringan untuk otak menerima selepas penat dengan tanggungjawab harian.

Ketika berada di tempat kerja atau di rumah yang membataskan saya untuk zikirkan sendiri, saya akan menggunakan bantuan dari alat elektronik sebaik mungkin. Tanpa henti dan tanpa jemu, demi mendidik amanah dalam perut ini.

4. Baca dengan nada kuat sambil belai perut

Tips ini amatlah bagus diamalkan kerana sebagai ibu hamil, ingin mendidik dan mengajar anak walaupun anak masih dalam kandungan tersangatlah mudah tapi sukar untuk istiqomah.

Saya menetapkan untuk membaca al quran selepas solat, surah yang saya tetapkan untuk baca adalah jantung al Quran iaitu surah Yasin dan surah al Fatihah. Baca dengan nada kuat antara saya dan anak dalam kandungan sambil membelai perut. Setiap hari, konsisten tanpa henti saya usahakan. Ada ketika diluar kemampuan, saya akan pasangkan surah-surah dari telefon pintar.

Anak dalam kandungan sebenarnya kenal akan suara umi nya, secara tidak langsung saya mendidik anak agar kenal akan suara ini supaya talian antara umi dan anak kuat. Pertalian atau bonding ini perlu kerana terciptanya kasih dan sayang dari Ya Rahman dan Ya Rahim.

Rezeki saya semasa mengandungkan anak pertama dikelilingi dengan suasana al Quran, menjadikan saya sentiasa positif dan mendengar ayat-ayat al Quran sepanjang masa. Proses mengandung selama tempoh 9 bulan 10 hari tiada alahan yang teruk, dan mudah sahaja. Alhamdulillah, yakin akan Zat dari Ayat-ayat Allah. Kita juga boleh menentukan suasana yang bagaimana ingin kita tetapkan dalam kehidupan seharian kita. Berhenti kerja, saya mengandungkan anak kedua, saya teruskan juga sepertimana anak yang pertama.

Kajian mendapati, sel-sel otak bayi berhubung dengan pesat sekali, banyak yang kita ajar pada bayi, insyaAllah hasilnya kita akan dapat saksikan ketika anak usia dua tahun kelak.

5. Pengurusan Emosi

Ibu Hamil tidak boleh terlepas dari emosi yang tidak stabil. Saya pernah terbaca bahawasanya andai mahu anak yang senang diurus, ibu haruslah jaga emosi dan sentiasa amalkan teknik pernafasan yang betul. Terdapat banyak buku yang berkongsi tips bagaimana ibu hamil perlu belajar tenangkan diri melalui teknik pernafasan, teknik senaman, teknik visualisasi dan banyak lagi.

6.  Sebelum Tidur

Ketika ini umi dan ayah dalam keadaan mode untuk rehat selepas kerja seharian. Saya akan beri tanggungjawab kepada suami untuk bercerita, berbual sambil mengusap perut. Jangan terkejut, anak-anak akan respons pada suara yang dikenali melalui tendangan ya! Subhanallah, hebat ciptaan Allah. Sepertimana saya mahu ikatan saya dan bayi kuat, begitu juga saya mahu ikatan bayi dan ayah nya juga kuat.

Sebelum lelapkan mata, saya akan ambil peranan menzikirkan sendiri zikir fatimah, zikir hasbi rabbi apa jua zikir yang terlintas sambil membelai perut sehinggalah saya terlelap. Saya seolah-olah zikirkan anak supaya anak tidur bersama saya.

7. Ulang, ulang dan terus ulang tanpa jemu

Konsisten dalam apa jua pembelajaran yang ingin diterapkan buat anak sedari dalam kandungan. Kekerapan berbual, mengusap membelai perut, memasang alunan ayat-ayat al Quran dan zikrullah adalah langkah awal dalam mendidik anak dekat dengan al Quran, cinta akan ayat-ayat Allah.

Insya Allah, perkongsian selepas ini saya akan kongsikan Tips mengajar anak mengaji dari usia 0-2 tahun. Terima kasih sudi membaca, semoga memberi manfaat buat anda semua. Pesan seorang sahabat buat saya ..

" Kalau kita cintakan seseorang..
pasti kita ingin bertemu selalu.
Kalau kita cintakan Allah..bertemulah selalu dalam zikrullah,
bertemulah selalu didalam solat,bertemulah selalu di rumah Allah,
berpegang teguhlah kepada Al-Quran dan As Sunnah. "

Alhamdulillah a'la kulli hal



Tuesday, 20 November 2018

Cara Jaga Cendawan Tiram Kelabu

Teks : Maslizatul Ayu

Cendawan Tiram Kelabu

Wangi nya umi bau cendawan ni umi,kata fatihah👱🏻‍♀️ . Pantas fatihah beri tindak balas, umi pula lupa mahu pesan tidak elok menghidu, risau ada spora bebas dari cendawa tersebut. Ambil langkah berjaga-jaga.

Bermodalkan RM3.50 bagi sebongkah cendawan dan boleh dituai selama 7-8 kali. Umi beli tiga bongkah serta perlu tambah kos penghantaran sahaja. Setiap kali beli cendawan di pasaraya,tak semua digunakan untuk masak, simpan sehingga layu jadi nya. Jadi terfikir apa kata beli bongkah cendawan dan lihat ada rezeki hidup tidak bersama kami di rumah. Sebelum ini pernah beli dengan oenjual lain, tidak hidup.

Syukur Alhamdulillah, Umi gembira anak-anak juga bahagia.. Mula lah keluar soalan yang tidak di sangka-sangka dari bibir mungil fatihah ini mengenai cendawan.  Paling kerap perlu dengar, umi.. cendawan dah keluar. Banyak nya umi. Bila boleh petik umi? Jawablah umi selagi boleh. Mujur Aina belum boleh bersoal jawab lagi. Kadang-kadang soalan anak-anak ini menambah keceriaan.

Cara menjaga nya juga, Alhamdulillah tidak renyah. Memadai jaga dari segi kelembapan,pengudaraan dan tempat simpanan yang sesuai diletakkan cendawan ini sama ada di dalam rumah ataupun di luar rumah. Tidak boleh matahari terus, cukup hanya suhu lembap sahaja. Pertumbuhan cendawan bergantung kepada persekitaran juga, ianya akan ambil masa 2-15 hari untuk cendawan keluar. Musim hujan biasanya lagi cepat keluar.

Sebab itu lah ada pepatah bagai cendawan tumbuh selepas hujan kan. Tanam sendiri baru lah faham, makin berlumba-lumba anak cendawan mahu menampakkan kewujudanya. Setiap hati pastikan sembur air di luar muncung bongkah dan letak atau selimutkan dengan tuala/kain basah.  Cendawan mampu serap sendiri air dari persekitaran.

Hasil tuaian yang pertama setelah sabar menanti. Umi siap tulis lagi nama pemilik atas bongkah cendawan. Mahu cipta rasa teruja dalam penjagaan, pembelajaraan anak-anak akan perbezaan jenis tanaman. Selepas petik cendawan, keluarkan sampai habis batang dan akar cendawan tersebut. Pastikan tiada lagi bendasing yang membolehkan pertumbuhan kali kedua nanti terbantut.

Tutup dan baringkan bongkah, biarkan ia rehat selama tujuh hari dan bersedia untuk cendawan tumbuh semula lagi dan lagi.

Alhamdulillah a’la kulli hal











#maslizatulayumenulis
#lensaAyuIlies


Sunday, 18 November 2018

Aina Telan Arang Kayu😱

Teks: Maslizatul Ayu

HATI -HATI DENGAN ANTIBIOTIK

Kisah  semalam, semasa umi sibuk menyediakan makan tengahari  di pondok ayah mertua, berbekalkan dapur arang untuk persediaan memasak. Satu insiden berlaku apabila Acik Ain mendapati Aina secara tidak sengaja memasukkan arang ke dalam mulut. Umi yang ketika itu sedang menumbuk bawang dan ikan bilis lantas bangun berkejar ke arah Aina.

Terus sahaja umi dan Acik Ain bersihkan mulut dan umi keluarkan dari mulut aina sambil-sambil buat aina muntahkan kembali.Terdengar ayah mertua cakap, bagi Aina muntah semula. Risau batuk-batuk nanti asbab dari arang tersebut. Umi yang dengar pesanan ayah terus berlembut cuba muntahkan Aina, syukur Aina muntahkan kembali berbentuk lendir yang ada sedikit arang.

Tindakan pantas akan hal ini, tidak fikir panjang. Terus sahaja ambil pendekatan beri Aina habbatussauda, minyak zaitun dara, madu mint dan madu abiotik. Agar dengan bantuan itu semua, dapat me nyahkan terus kuman yang cuba-cuba untuk mengganggu antibodi anak ini.

Selain dari itu, kami sekeluarga biasanya jika ada tanda nak batuk, akan segera amalkan antibiotik dari sumber alam semulajadi seperti Habbatussauda (produk: Habasyi99), 100% madu Tualang atau madu mint (produk: Quadmeds) dan kalau pergi kedai makan, akan order air limau suam kurang gula saja.

1-3 hari, Inshaallah pasti sembuh!

BAKTERIOSTATIK & BAKTERIOSID

Banyak yang tak faham bahawa antibiotik semulajadi ni bersifat "bakteriostatik", kemudian Natural Killer dalam badan kita akan bunuh bakteria yang telah dilemahkan (statik) itu secara alami.

Berbeza dengan cara kerja antibiotik sintetik yang bersifat "Bakteriosid" iaitu merosak dinding sel, merosak mRNA, menghambat membran sitoplasma, menghambat asid nukleat dan lain-lain yang tetap juga dapat membunuh bakteria penyebab penyakit tetapi mengakibatkan KERINTANGAN ANTIBIOTIK!

Satu saat jika antibiotik sintetik tidak dihabiskan, DNA bakteria tersebut berisiko tinggi untuk replikasi menjadi lebih ganas sehingga diperlukan antibiotik yang lebih kuat untuk membunuhnya, dan sudah tentu meninggalkan kesan sampingan yang lebih buruk terhadap tubuh badan kita.

Menurut kajian, Madu Tualang mempunyai kesan antikuman, antiradang, antioksidan, antimutagenik, antitumor, dan antidiabetes, serta membantu penyembuhan luka (Sarfarz Ahmed, 2013)

Alhamdulillah, mencegah lebih baik dari mengubati. Kita ikhtiar, sakit sembuh semua nya hak Allah




.


Memori Umbut Kelapa

Teks: Maslizatul Ayu

Umbut kelapa.
Masak apa lagi yang sedap selain masak lemak ya?

Main masak-masak di pondok semalam. Tidak menjangka perah kelapa untuk dapatkan santan guna tangan kerana tiada mesin pengisar😅, terkejut budak bandar macam ayu ni.

Kalau orang lama, itu semua biasa sahaja kan. Keras di luar, lembut dan rangup di dalam. Krup krap krup krap meratah umbut kelapa mentah semalam. Selepas itu umbut kelapa di potong dan direbus seketika dengan air panas bersama sedikit garam.

Semuanya kerana mahu masak masak lemak umbut kelapa ini. Bawang besar,bawang putih dan ikan bilis yang direndam seketika dengan air ditumbuk separa halus. Biji ketumbar pula disangai kering dan ditumbuk halus.

Maka bermula lah proses memasak. Minyak panas sahaja dalam periuk, campak sahaja bahan yang ditumbuk sehingga naik bau wangi. Seterusnya masukkan santan, umbut kelapa dan sentiasa lah dikacau supaya santan tidak pecah atau lari minyak nya😉

Akhir sekali perasakan dengan garam. Aroma biji ketumbar menyedapkan lagi masak lemak umbut kelapa ini. Subhanallah, rezeki dapat bersama orang lama memasak sekali juadah yang sedap tidak terkata ini.

Rezeki pulang kampung semalam, dan kehadiran famili kak ita di kebun dapat ayu menikmati buat pertama kali. Segar dari kebun ayah mertua.

Suami kak ita mulakan sahaja memotong pokok kelapa dengan menggunakan chainsaw nya, lihat mudah sahaja kan nak potong tu. Terbayang diri sendiri yang pegang chainsaw, rasanya tak tumbang pokok tu nanti🤣

Melihat proses mendapatkan umbut ini bukan mudah. Tidak mudah itu pengakhiran nya manis sahaja kan. Sempat juga cici goreng kepah nya di atas dapur kayu api😉

Alhamdulillah. Rezeki tidak semestinya dari unsur wang ringgit, rezeki masa yang ada diluangkan bersama keluarga juga adalah rezeki.

Terima kasih ayah, ibu Saripah Jamal, adik Ipar Ain Asya Yunus dan suami Muhammad Arief Yunus atas kenangan ini🌷

Memori untuk dikenang.
#maslizatulayumenulis