Monday 26 November 2018

Perjalanan Bisnes Kek Cheezyleleh

Teks: Maslizatul Ayu

Sekitar tahun 2016, ketika ini mengharapkan dapat menjana pendapatan dari rumah. Usia fatihah maisarah menjengah ke usia setahun. Maka bermula lah episod cuba jaya baking kek. Tahun ini juga facebook page Azlina Ina hangat diperkatakan apabila beliau berkongsi cara mudah buat kek dan jual. Seorang insan yang tidak kedekit ilmu baking, perkongsian beliau menjadi perbualan hangat dan rezeki buat suri rumah yang mencari sumber pendapatan tapi tidak mampu untuk hadir kelas berbayar.

Kepada Allah sahaja yang saya mampu untuk panjatkan doa yang baik-baik buat cikgu Azlina Ina. Bermodalkan RM200 di tangan ketika itu, puas saya mencari kedai yang dapat beri harga yang tinggi  penjimatan. Bermula lah perjalanan Allah izinkan saya bertemu dengan kenalan satu persatu hulurkan bantuan dari segi resepi, cara membakar dan mengadun sehinggalah kedai pemborong barang-barang kek. Rezeki yang tidak disangka-sangka lagi pelanggan pertama saya adalah ibu mertua saya sendiri.

Allahuakbar, sungguh di luar jangkaan bila mana ibu mertua rasa kek cheezyleleh yang saya buat dan siap tempah lebih untuk di bawa ke tempat kerja dan beri rakan sekerja nya rasa. Di sini semua nya bermula! Permintaan semakin lama semakin memberangsangkan. Kawan-kawan ibu senantiasa ulang tempahan demi tempahan. Testimoni dari ibu dan kawan-kawan ibu, saya miat naik dan kongsi di facebook. Kawan-kawan saya dan suami pula menempah kek yang saya jual ini, Subhanallah Alhamdulillah, sujud Syukur saya akan rezeki ini.

Semasa mula-mula buat kek, saya hanya menggunakan oven 1liter hadiah kahwin yang saya terima. Ketika itu, membakar kek menjadi lama kerana hanya muat satu loyang sahaja dan tempoh pembakaran selama 10-15minit. Bersengkang mata sehingga subuh apabila permintaan tinggi. Ketika itu juga, mixer tangan jenama pensonic, sungguh makan masa untuk menyiapkan kek yang ambil masa sehingga 10-20 minit putaran sehingga gebu.

Pernah beberapa kali kawan satu ofis dahulu menempah sehingga 80peket cheezyleleh, hasil keuntungan dari tempahan ini dapatlah saya membeli oven yang besar sedikit,  tambahan loyang dan beberapa perkakasan kek. Bak kata pepatah, bersusah susah dahulu bersenang senang kemudian. Syukur saya mula memahami bukan mudah untuk menggapai bintang di langit andai tidak meletakkan usaha yang bersesuaian.

Saya pernah dilamar oleh makngah, Puan Mazna untuk letak kek di kedai yang beliau sendiri cadangkan di sekitar gombak, sempat hantar untuk beberapa bulan sahaja dan atas sebab tertentu terpaksa dihentikan. Seronok kenalan dan pelanggan yang tahu ketika itu, mudah untuk mereka dapatkan sehinggalah kek dah habis, pasti masuk mesej dari pelanggan maklumkan pada saya yangt kek saya sold out, dan minta buatkan lagi. Alhamdulillah.

Kini, 2018 saya telah mempunyai pelanggan tetap dan berhajat mahu hantar ke kedai kek bagi memudahkan pelanggan untuk dapatkan bila-bila masa apabila mereka teringin akan nya. Akan tetapi saya perlu fokus dengan Aina Marissa yang baru genap setahun ini dahulu baru lah dari masa ke semasa saya akan memasang niat dan merancang strategi. Acapkali saya berdoa dengan Allah agar percepatkan apa yang terbaik buat saya.

Sepanjang saya baking, saya juga yang buat penghantaran kepada pelanggan. InsyaAllah, direzekikan saya turut memasang impian untuk melebarkan sayap bisnes kek cheezyleleh ini. Fokus saya tertumpu kepada kek vanila cheezyleleh aneka topping dan juga kek coklat hantu/lava cheezy. Mana tahu ada rezeki dapatlah saya belajar lebih lagi tentang teknik dan jenis kek lain yang boleh dipasarkan, InsyaAllah.

Ada dua jenis resepi yang saya suka buat untuk kek vanila cheezyleleh dan satu resepi bagi kek coklat hantu lava cheezy. InsyaAllah, next posting saya kongsikan resepi nya ya.










































Pengalaman dan Kepakaran, Kenapa Saya Berhenti Bekerja

Teks: Maslizatul Ayu 

Tidak pernah terdetik, mahupun terlintas yang saya akan berhenti kerja dan berkhidmat sepenuhnya buat keluarga kecil saya sebagai seorang suri rumahtangga sepenuh masa. Saya seperti anda semua, punyai impian selepas graduasi mahu bekerja dan sambung pelajaran sehingga lah ke tahap yang tertinggi. Tamat sahaja belajar di Universiti Islam Antarabangsa dalam jurusan psikologi saya sempat bekerja selama dua tahun sebagai pengurus di salah sebuah syarikat swasta.

2016, Saya bergelar suri rumah, sesuatu yang tidak pernah terdetik pun dalam fikiran. Ianya adalah asbab ilmu dari Tuhan. Sebelum nekad untuk berhenti daripada jawatan Pengurus Pusat Tuisyen Ibu Hamil Al Baghdadi, dua tahun memegang jawatan ini. Saya mengembara ke utara, ke selatan, ke timur dan ke barat mengikuti tim bagi menyebarluaskan ilmu pendidkan al-Quran sejak dari dalam kandungan. 

Memegang Ijazah Sains Kemanusiaan (Psikologi), berbekalkan semangat, ilmu yang ada dijadikan amalan. Saya seorang insan yang cuba untuk memahami setiap keadaan, jarang sekali memikirkan nasib badan, sukar untuk mengatakan tidak, hingga akhir sekali penat badan,penat minda dan penat emosi sehingga menganggu fikiran. Siang malam bekerja keras, demi menyempurnakan setiap tugasan. 

Sebelum bergelar suri rumah. Anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Memori kisah hidup dari zaman kanak-kanak seolah-olah banyak yang sudah terpadam. Lebih banyak ingatan yang sangat menyakitkan. Saya bukanlah anak yang cemerlang, akan tetapi anak yang naif dan banyak memberi bantuan. Disanjung tinggi oleh Emak dan Ayah kerana anak ini sahaja yang bergelar graduan ketika itu. 

Akan tetapi, pahit getir dirasai dari zaman sekolah rendah, dipulaukan oleh kawan-kawan. sungguh tidak pasti, apakah punca ini terjadi. Anak yang periang dan lincah bertukar karektor menjadi seorang yang pasif dan suka menyendiri. Emak dijadikan kawan rapat, mencipta mental blok, tiada kawan pun tidak menjadi masalah buat diri. 

Anak sulung yang manja, apa sahaja keinginan diberi sahaja. Tapi saya lupa, dan tidak diberi ingatan akan bagaimana harusnya saya mengemudi lautan kehidupan. Yang hairan nya, kawan yang memulaukan itu, semuanya perempuan. Apakah sebabnya wahai Tuhan? 

Saya dibesarkan di kawasan perumahan setinggan. Ayah seorang tentera darat, Emak pula seorang suri rumah sebelum bergelar usahawan. 
Cara Ayah mendidik kami penuh dengan kata-kata yang kurang enak didengar, masih ingat lagi ketika saya memasuki alam remaja, memerlukan kawan sebagai tempat luahan. Takut akan ayah, jadi lah saya seperti katak bawah tempurung tidak bersosial dengan kawan-kawan. 

Tahun 2013, pindah perumahan flat, sama juga keadaan. Personaliti introvert terus menebal dalam diri. Kajian membuktikan bahawa ayah memainkan peranan besar dalam perkembangan anak-anak dan mendapati kurang mengalami masalah disiplin, dan tidak terganggu dengan kemurungan. 

Kata orang, anak perempuan ini perlu rapat dengan ayah, saya tidak berpeluang kerana ayah garang yang amat. Mungkin ayah dibesarkan oleh orang tua yang hidup zaman penjajahan jadi kurang perasaan. 

Sedangkan saya yang tidak faham, sebenarnya cara ayah melontarkan kasih sayang berbeza dengan cara emak. Ayah pastinya perlu menunjukkan ciri-ciri ketegasan.

Masih ingat lagi, keputusan peperiksaan sentiasa merah sahaja. “Bodoh! Bangang! Soalan senang macam ini pun hang tak mampu jawab ke? Kata Ayah”. 

Ilmu Hisab, Ilmu Al-Quran, Ayah lah guru nya. Berbekas di kepala menahan peritnya balingan atau ketukan dari jari. Mahu mengaji al Quran, sudut paling hujung jadi pilihan. Baran sekali ayah dalam memberi pelajaran.

Belum dikira lagi, pulang bermain, sebelum Maghrib. Bulu ayam menjadi sebatan andai ingkar arahan. Sekali dengan bulu ayam itu saya sorokkan. Ketawa memikirkan. Nakal juga saya ini ya? 

Hidup saya banyak ikut-ikutan, hanya emak dan novel menjadi rakan. Ayah pula dijadikan idola dalam kehidupan. Kerana ayah yang terbaik untuk pilihan masa depan. Rindu senyuman ayah, lihat saja wajahnya apabila diletakkan puntung rokok di bibir merah bak delima merekah.

Biarpun bertahun hidup dengan kata-kata kurang enak dari bibir ayah, saya layankan. Kerana cara ayah yang tegas, panas baran itu menunjukkan kasih dan sayang. saya tidak mengganggap itu sebagai kebencian bahkan semangat. 

Ada sekali, memerhati seorang kawan menaiki pentas terima anugerah kecemerlangan. Dari situ, saya berimpian dan berangan, mahu memijak pentas yang sama dan menggulung anugerah yang bersesuaian.

Tahun 2004 dan 2005 menjadi saksi, Perpustakaan Negara senantiasa dikunjungi berbekalkan tekad di hati. Buku rujukan memenuhi sudut bilik, waktu tahajjud dijadikan waktu menyendiri dan mengulangkaji. 

Emak memerhati dan ikut sahaja apa yang diingini. Kerana beliau senantiasa menyokong dan mengerti. Slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini ditangan, menapak laju untuk di bawa pulang sambil senyum puas kegirangan.

Hati gembira bukan kepalang. diserahkan kepada ayah slip keputusan. Ayah melihat dan kelihatan matanya penuh sinaran. Lantas saya suarakan, “Ayah..Ayu tak bodoh kan? Ayu tak bangang kan ayah? ayah hanya mengangguk tanda mengiyakan. 

Bermula lah episod kehidupan, saya disanjung dan disayang. Apa jua keputusan melanjutkan pelajaran, saya yang tentukan, kerana ayah merelakan kerana percaya akan kebolehan.

Ayah ternyata silap! saya insan yang tidak pandai dalam memberi dan membuat keputusan. Saya berjumpa mereka yang arif, bertanyakan soalan dan sesuai apa jurusan. Setelah mendengar pendapat, Saya memilih untuk menyambung jurusan Sains Kemanusiaan (psikologi) kerana saya ingin mengenali diri dan memahami sekeliling yang mengganggu jiwa dan fikiran. Asbab trauma masa silam.

Tahun 2009 mendaftar diri di Matrikulasi, Tahun 2013 memegang Iijazah yang dihajati. Dilema mencari diri dalam erti kata mengenal diri masih menganggu lagi. Kawan-kawan semakin lama semakin menjauhi. Asbab dari diri yang tidak suka bercampur, buang masa mendengar cerita itu ini yang sekadar berbasa basi. 

Saya pun melangkah ke dunia luar cuba untuk mencabar diri. Siswazah lain aktifkan diri dalam persatuan , Saya pula aktifkan diri keduanya termasuk dalam dunia pekerjaan sampingan. 


Diterima sebagai tutor persendirian mengajar KAFA dan Al-Quran .Emak sanggup sponsor motorsikal buat kemudahan.Menambah sijil mengajar al-Quran dan juga Tajwid agar menjadi sandaran apabila wujud pertanyaan. Teknik Al Baghdadi menjadi pilihan. Jiwa Ayu tidak tenang, biarpun wang banyak di tangan. Rupanya tidak dibahagikan.

Ayah mula mendalami ilmu tasawwuf,ilmu hakikat, ilmu makrifat, dan ilmu taareqat sebagai panduan dalam kehidupan. 

Tahun 2000-2017 segar masih di ingatan. Ayah banyak berkongsi ilmu agama yang dipelajarinya. Di minta buka kitab dan baca tafsiran,tadaabbur setiap ayat. Saya, Emak dan adik-adik khusyuk menerima setiap syarahan. Syukur ke hadrat Tuhan, saya bisa memanfaatkan.

Emak punyai darah berniaga, seorang yang peramah dan mudah mesra. Membantu emak menjual kerepek dan kek pisang setiap pelosok kampung saya gagahi jua. Laungan, “Cik, nak beli kek pisang dan kerepek?, tanya saya” Ini kisah semasa masih sekolah rendah. Mungkin ini asbab kawan-kawan memulaukan, kerana malu berkawan dengan penjual jalanan. Rezeki 9/10 kan datangnya dari perniagaan.

Ditambah lagi, emak asah bakat menjual, diletakkan saya paling hadapan. Berniaga di Baazar Ramadhan, saya membantu Mak Long menjual puluhan jenis kuih muih sehingga di lamar Rancangan Radio Malaysia (RTM) untuk buat liputan akan tetapi ditolak kerana tak punya kekuatan. Rugi bila difikirkan, sia-siakan peluang. 

Awal Safar 2010, Emak mengumpul kekuatan, buka sendiri perniagaan kecil-kecilan sehingga kini usahawan perniagaan makanan. Melihat jerih payah seorang usahawan, saya tidak memasang impian untuk membuka perniagaan makanan. 

Tamat Ijazah, buka pusat pembelajaran Al Quran Teknik Al Baghdadi, memikirkan mungkin ini yang di cari. Enam bulan sahaja beroperasi, menerima lamaran Ibu Pejabat Al Baghdadi menjawat jawatan Pengurus Pusat Tuisyen Ibu Hamil Al Baghdadi. Sepanjang perjalanan bekerja, banyak yang tidak mencapai kepuasan diri.

Dilema mencari dan terusan mencari. Oh, rupa nya saya tidak mengenal kekuatan diri. Terus bermonolog sendiri, apa yang dicari? Bicara hati didengar Tuhan, dibuka pintu jalan apabila berhadapan dengan dugaan. Kelas Gerak dan Reformat Diri antara kelas yang didaftarkan. Dr Ahmad Yusri, guru perantara, maka bermula episod mencari ketenangan dalam mengenal diri yang paling dalam.

Tahun 2015, semakin rancak menggali ilmu mengenal diri. Dengan berilmu, mendidik diri lebih matang mendepani situasi. Ketika ini, sedang sarat mengandung puteri pertama. Aktif menganjurkan latihan dan pengurusan buat pengusaha dan guru-guru pusat pembelajaran. 

Tinggi penghayatan, kandung bayi dalam kandungan, baru lah memahami setiap isi modul ransangan Pendidikan al-Quran yang diusahakan bersama tim untuk dipersembahkan.

Kisah silam penuh dengan kecederaan emosi, menjadikan saya hidup terlalu ikutkan emosi. saya hadir kelas reformat diri kerana mahu buang segala pahit dan sakitnya memori. Dari kelas ini, belajar memaafi dan berserah diri. 

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasulullah bersabda; Sesungguhnya Allah berfirman : Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia MengingatKu…” (Ibnu Majah). Hadith ini dijadikan panduan hidup terus ke hadapan.


Mei 2015, saya mengikuti kursus sebagai konsultan cap jari. Lebih fokus kepada mengenalpasti potensi dan bakat semulajadi. Tuhan itu sungguh memahami. Bukankah diri minta untuk mengenal diri dan bakat semulajadi?. 

Ogos 2015,Fatihah Maisarah lahir ke dunia,  berbekalkan ilmu-ilmu yang telah dipelajari, bersedia untuk sepenuh masa menjadi Umi, nekad apabila tidak mempercayai pengasuh di taska dan nurseri. Tidak menyangka makan diri sendiri.

Tanggungjawab sebagai suri rumah sepenuh masa, bukan mudah. Perlu kuat dari segi mental,fizikal dan emosi. Saya fikir boleh kawal emosi sendiri, diuji anak demam, terduduk sendiri. Kemurungan melanda selama setahun. 

Sehinggalah saya bangkit, meletakkan diri di tahap paling rendah sekali, menadah tangan memohon bantuan Tuhan. Syukur punyai suami yang sudi menjadi pendengar setia di kala hati rawan. Tingkatkan pembacaan dan cari kawan-kawan positif.

Hidup sebelum ini terbiasa ada duit di tangan, sering boros dengan wang poket yang suami hadiahkan. Tidak menyangka dalam diam, emak memendam, anak yang disanjung akhirnya memilih untuk tidak bekerja, asuh anak-anak sahaja. 

Maka, Saya pun bergiat aktif mengembara bersama fatihah dalam membantu memodalkan pembangunan insan dengan topi konsultan. Demi memikirkan mahu menyempurnakan hajat emak untuk beri penghargaan.

November 2017, Aina Marissa lahir. Turun naik perniagaan, tidak mampu untuk beri emak ayah wang saku bulanan. Terus merasa diri tidak berguna, sekali lagi, Saya beremosi! Sungguh pedihnya di hati, apabila terlalu memikirkan seorang anak tidak mampu untuk berbakti. 

28 April 2018 Ayah pergi dijemput Ilahi, tersungkur menyalahkan diri. Saya sibukkan diri menggali ilmu, supaya tidak ikutkan emosi. Syukur ketenangan dapat dicari dan menerima takdir Ilahi.

Amanah menjadi suri, membesarkan dua orang puteri. Saya tetap teruskan misi, menjadi Suri bekerjaya dari rumah sambil mengasuh,mendidik anak-anak yang masih kecil lagi. Saya yakin, rezeki Allah itu pasti.

Mudah-mudah misi berbakti buat emak dan keluarga yang masih ada, Allah makbulkan dilapangkan rezeki buat saya selapang-lapangnya dari kurniaan rezeki yang tidak disangka-sangka. Menjadi suri, memberi kelapangan masa untuk saya berbakti dengan amanah yang Allah beri dalam hidup ini.y

Aamiin ya rabbal alamin 











3 Tips Anak Amalkan Zikrullah sebagai lagu harian

Teks: Maslizatul Ayu

Hati umi mana yang tidak girang apabila melihat anak-anak menjadikan zikir sebagai lagu harian tatkala tergerak untuk melafazkan nya. Pendekatan yang dilakukan saban hari tanpa jemu adalah umi mengawal setiap siaran yang mahu dipertontonkan buat anak-anak di rumah. Usaha ini membuahkan hasil yang sangat mengujakan dan tempoh masa yang diambil dari anak usia 0 tahun sehinggalah anak sudah pandai bercakap.

Tips yang ingin dikongsikan adalah bagaimana cara anak-anak mampu membasahkan bibir dengan zikrullah tanpa paksaan:

1. Umi dan Ayah sebagai contoh utama

Saya sentiasa set kan dalam diri, mahu anak-anak lafazkan zikir di mana jua tidak kira masa. Maka, saya suka ambil peranan setiap kali mahu tidurkan anak-anak, zikir fatimah dan beberapa lagi jenis zikir saya akan lagukan sehinggalah anak tidur. Tidak ketinggalan ketika memandu dan duduk sahaja sambil peluk anak-anak saya bisikkan di telinga dendangkan zikir tanpa jemu.

2. Menegur anak, lafazkan istighfar. Takjub akan kebesaran Allah lafaz Hamdalah, Masya Allah dan Subhanallah.

Setiap kali saya geram akan sikap anak-anak, selain dari menyebut ‘anak bertuah’, saya akan tinggikan intonasi perkataan istighfar “Astaghfirull ah al a’zim”. Maka anak-anak akan kenalpasti setiap perkataan yang saya sampaikan membawa mesej-mesej yang tertentu. Perkataan istighfar, tahu lah  mereka yang saya sedang marah.

Wow cantik nya! Saya tukarkan kepada Masya Allah, Subhanallah cantiknya pelangi itu!

3. Simpan zikir-zikir dan surah dalam pendrive dan TV Al Hijrah

Sejak mempunyai dua orang cahaya mata, saya semakin kurang membuka siaran kegemaran di televisyen. Hal ini kerana saya mendapati lebih banyak lagha berbanding manfaat melainkan ada juga siaran yang sarat dengan ilmu. Pilihan saya kebanyakan nya TV1 dan TV Al Hijrah. Anak-anak 0-3 tahun ini hanya ikutkan sahaja apa yang diberikan, tidak banyak karenah.

Maka,pembelajaran yang saya mahukan buat anak-anak telahpun dipilih dan tugas saya mainkan sahaja berulangkali, secara tidak langsung saya sendiri semakin hafal setiap zikir dan surah-surah dalam al Quran. Syukur suami pun jenis yang tidak gemar melanggan Astro sekadar sediakan box freeview siaran digital tersebut, dapatlah saya masukkan pendrive dan mainkan berulang kali.

Tempoh masa yang saya selalu ambil untuk mainkan zikir ialah sehari 3 kali, ulangan nya sebanyak 7kali. Walaupun anak tidur saya tetap pasang akan ttetapi volume diturunkan sekadar mendayu-dayu sahaja zikir dan surah-surah tersebut. Saya yakin akan kehebatan minda separa sedar yang Allah berikan kepada kita. Anak-anak kecil sibuk bermain, dan ibarat saya memberi makan buat otak mereka dengan mendengar ayat-ayat Allah.

Video dibawah ini saya sempat rakamkan sekejap, banyak moment yang saya terlepas untuk merekodkan. Fatihah Maisarah dalam video ini berusia 3tahun 3bulan, ketika menunggu saya untuk meneruskan pemanduan, beliau dendangkan zikir secara spontan. Bilamana saya katakan saya tidak dengar, suara beliau semakin perlahan. Malu agak nya apabila tahu saya mahu rekod. Hihi..bertuah anak ini.