Thursday 15 November 2018

Cara Cepat Belajar Al Quran Untuk Dewasa, Remaja dan Kanak-Kanak, Teknik Al Baghdadi

Teks: Maslizatul Ayu

Ustaz tak tanya soalan pun! Terngiang-ngiang telinga ini mendengar tagline di radio ikim.fm setiap selasa jam 6:00 petang semasa menghadapi trafik sesak kota pulang ke rumah. Boleh percaya ke belajar mengaji ustaz tidak akan tanya soalan? Selalu nya, kelas mengaji ini lah yang asyik kena serang bertubi-tubi diminta mengaji. Ustaz mahu menilai sejauh mana kebolehan mengaji supaya dapat diperbaiki, tempelak hati ini.

Kebanyakan golongan dewasa yang kurang menyenangi dikhuatiri ditanya soalan, lagi-lagi yang baru mahu belajar mengenali huruf dan kurang keyakinan akan bacaan sendiri pastinya tidak gemar hadirkan diri. Bagi yang mampu, dapatlah jemput guru al Quran mengajar di rumah. Pada yang diluar kemampuan, hilang begitu sahaja lah niat untuk meningkatkan bacaan al Quran. Kini, tidak lagi dengan ada nya Teknik Al Baghdadi.

Era 80an, 90an masih lagi wujud kelas yang mana ustaz ustazah menerima bayaran seikhlas hati, kini jarang sekali. Mahu atau tidak, perlu juga asingkan wang andai tekad mahu belajar mengaji. Sepanjang pemerhatian saya, kelas Al Quran yang dijalankan oleh sesiapa jua, tidaklah membebankan waima masih lagi dalam kemampuan, InsyaAllah. Kita hanya perlu pandai mencari kelas ikut kemampuan ekonomi diri. 

Pucuk pangkal kemahuan diri, tepuk dada tanya selera. Bukankah belajar dan mengajarkan al Quran adalah sebaik-baik muslim, dan "bacalah Al Quran kerana dia akan datang pada hari kiamat sebagai juru syafaat bagi pembaca nya." (Riwayat Muslim). Rugi rasanya tidak berlumba-lumba mendapat kebaikan dari Al Quran itu sendiri. Kajian juga mendapati, rajin nya kita membaca Al Quran dapat mengurangkan faktor nyanyuk. Subhanallah, hebat kan!

Terdapat banyak teknik dan kaedah belajar mengaji di luar sana, Saya lebih tertarik untuk mengupas akan keistimewaan teknik ini kerana saya sendiri telah hadiri kelas asas tamhid, Kelas tajwid dan kelas talaqqi am nya. Teknik ini merujuk kepada modul tamhid menggunakan teknik SAS (Struktur, Analisis dan Sintesis) bagi pengukuhan bunyi dalam menguasai 336 bunyi dalam Al Quran.

Alat bantu belajar yang diberi nama 'alat ketuk' semasa belajar juga memainkan peranan penting dalam memberi keseronokan dalam pembelajaran. Tambahan lagi, terdapat juga kad imbasan dan set bermain sambil belajar. Keseronokan belajar sambil bermain mengaktifkan deria dengar, lihat, sentuh, tutur dan pergerakan secara tidak langsung menepati kecenderungan cara belajar yang berbeza bagi setiap pelajar.

Antara cara cepat belajar al Quran Teknik Al Baghdadi yang dapat saya simpulkan adalah suasana pembelajaran secara berkumpulan yang menyeronokkan. Jangan hairan, sedar tidak sedar  kelas selama dua jam macam tidak cukup. Tempoh masa selama tiga bulan sahaja belajar menggunakan modul tamhid yang ringkas terbukti berkesan dan sudah boleh mengaji Al Quran. Kunci nya adalah kepada pengulangan berkali-kali juga main peranan semasa pembelajaran yang membantu tingkatkan ingatan jangka panjang.

Semasa kelas, saya mendapati Teknik Al Baghdadi ini mempunyai pendekatan persaingan mengaji yang sangat sihat. Saya beri contoh ya, katakanlah dalam satu kelas mempunyai 30 orang pelajar dan dibahagikan kepada lima kumpulan. Dalam setiap kumpulan pelajar dimasukkan secara rawak dan kita tidak tahu pun siapa yang boleh mengaji dan siapa tidak kan. Ustaz di hadapan mainkan peranan minta pelajar buka buku tamhid al baghdadi berserta alat ketuk. 

Ustaz hanya mengajar teknik yang betul, apabila pelajar sudah dapat rentak pembelajaran akan jadi mudah sekali. Ustaz pun tidak perlu tanya soalan, kerjasama antara kumpulan diwujudkan apatah lagi wujudnya aktiviti seperti pertandingan. Cara belajar begini, pelajar yang mungkin lemah semakin teruja belajar dan sekadar ikut pelajar yang lain. Pelajar lemah semakin lama semakin serasi dan menguasai ilmu yang dipelajari.

Ditambah lagi dengan aktiviti kad imbasan dan 'set playtime' ini sebagai pengukuhan. Insya Allah, Teknik Al Baghdadi ini sesuai untuk semua golongan. Dari kanak-kanak, remaja hinggalah dewasa dapat mempelajari dengan gembira. 

Saya hanya berkongsi pendapat, yang baik ambil lah yang kurang semuanya dari saya sendiri. Moga ada manfaat dari perkongsian ini. Insya Allah.






Sumber Gambar : Google Imej


No comments:

Post a Comment