Wednesday 21 November 2018

Panduan Mengajar Mengaji untuk kanak-kanak

Teks: Maslizatul Ayu

Anak-anak, andai seawal usia diterapkan dengan ayat-ayat Allah, Insya Allah penerimaan untuk ilmu laduni lebih mudah selepasnya. Doa, usaha dan tawakal kerana setiap dari anak punyai penerimaan pembelajaran yang berbeza-beza. Akan tetapi, fitrah anak kecil suka bermain dan tidak suka duduk setempat amatlah mencabar. Bagaimana mahu didik anak mengaji macam ini, pucuk pangkal adalah dari diri kita sendiri.

Mendidik anak-anak dari 0-6 tahun ini perlukan kesabaran yang maksimum. Tambahan lagi, sebagai tenaga pengajar, kita perlu turunkan level kita dari dewasa kepada level kanak-kanak dan masuk ke dalam dunia mereka. Anak-anak mahu berlari, kita pun berlari. Anak-anak mahu melompat, kita pun melompat. Asalkan objektif belajar sambil bermain tercapai. Ketika usia begini, banyak perkara yang kita tidak akan dapat duga sekalipun, tetap istiqomah dalam mencapai objektif.

Panduan Mengajar.

1. Urus Emosi

Sebagai Umi dan juga tenaga pengajar anak-anak usia 0-3 tahun ini benar-benar menduga kesabaran. ketika anak-anak usia ini, daya fokus mereka adalah sekejap pada satu-satu perkara. Usah mimpi apa yang kita ajar hari ini anak-anak akan dapat ingat hari ini juga. Maka, saya perlu urus emosi dan berkata dalam diri bahawasanya kita sedang menabur benih, taburlah benih dan bajakan dengan baja yang baik supaya tuaian nya nanti tuaian yang terbaik, Insya Allah


2. Waktu yang terbaik

Pastikan semasa mahu mengajar mengaji, anak-anak dalam keadaan yang selesa. Anak-anak sudah diberi makan, sudah bersih dan mandi, tidak penat dan bukan waktu mereka tidur. Saya ambil pendekatan waktu yang terbaik adalah waktu dhuha, waktu selepas asar dan waktu selepas maghrib. Ada juga saya terlepas untuk mengajar, dalam seminggu memadai saya meletakkan target 3-5 hari untuk mengajar anak mengaji.

3. Pujian Melangit vs Marah

Anak-anak suka andai kita memuji akan kesungguhan mereka ikut apa yang kita ajar. Pujian melangit ini saya tumpu kepada usaha anak bukan anak itu sendiri. Teknik pujian atas usaha ini saya pernah terbaca dalam bacaan mendorong anak menggunakan gaya nabi. Anak yang dipuji usaha nya tidak akan mudah kecewa jika mereka kurang usaha, berbeza jika kita memuji anak itu sendiri yang mana akan mengganggu keyakinan mereka andai mereka berhadapan dengan kegagalan.

Semasa mengajar, umi akan bertukar menjadi singa andai anak-anak tidak ikut dan banyak main selain dari pelajaran mengaji ini. Maka saya akan tegur dan nasihat dengan penuh hikmah akan peri pentingnya mengaji ini.

4. Bahan Bantu Mengajar

Pendekatan yang saya guna bukan sekadar duduk mengaji menghadap buku sahaja, ada ketika saya akan menukar peranan anak pula sebagai guru dan saya sebagai murid. Bahan bantu mengajar perlu ada dalam setiap rancangan mengajar harian. Ada ketika melagukan, ada ketika belajar sambil lompat itik lompat bintang , ada masa menggunakan kad imbasan, alat ketuk dan teknik bercerita ikut kesesuaian pelajaran pada hari tersebut.

Belajar sambil bermain lebih mudah untuk diingati berbanding belajar duduk dan fokus tetapi fikiran melayang ke tempat lain. Anak kecil ini penuh dengan daya imaginasi dan kreatif, usah dibunuh daya kreatif mereka itu dengan menghadkan ikut kemahuan kita. Pelbagai kaedah dan teknik belajar mengaji di pasaran yang boleh digunakan, saya sekadar guna teknik al baghdadi dan iqra' dalam mendidik anak mengaji di rumah.

5. Istiqomah

Anak-anak lebih bersemangat apabila kita juga turut serta. Saya perlu istiqomah untuk mengajar anak-anak adalah dengan cara setiap kali ada masa sahaja anak-anak berada bersama, saya akan terus melagukan zikir atau surah-surah pendek. Semasa memandu, semasa tidurkan anak selalunya masa yang saya curi untuk mereka mengulang semula pelajaran yang telah pun dipelajari. Paling ketara saya dapat lihat hasil adalah ketika fatihah masuk usia dua tahun, beliau melagukan setiap zikir yang saya ulang setiap hari.

Paling saya suka untuk raikan anak dengan mengajar mereka adalah memperuntukkan selepas solat setiap lima waktu adalah waktu anak-anak akan mengaji. Masa yang diambil memadai kurang dari lima minit, selalunya lima saat sahaja yang bertahan. Anak-anak ketika usia ini mudah lari tumpuan, lima saat dapat memperkenalkan huruf-huruf al Quran pun sudah memadai. Saya dapat lihat, konsisten saya lakukan selepas solat, selepas itu anak-anak akan ambil sendiri buku yang mereka mahu baca dan tunggu saya selesai solat dan minta untuk dibacakan.

Seharian di rumah, saya sebolehnya akan tutup siaran televisyen dan buka surah-surah dan zikir-zikir sebagai halwa telinga anak-anak. Proses pengulangan berkali-kali ini adalah latih tubi pengukuhan buat anak-anak. Apabila masa bersama saya, saya akan manfaatkan sebaik mungkin. Apabila di luar, saya hanya mampu berdoa agar anak sentiasa dilindungi dari faktor luar yang memudaratkan.

6. Doa, Usaha dan Tawakal

Serah bulat-bulat kepada Allah atas setiap usaha kita ke atas anak-anak. Usah letak pengharapan, akan tetapi disiplinkan diri atas apa yang kita mahukan ke atas anak. Melentur buluh biarlah dari rebung, doa diiringi dengan tawakal tanpa henti. Man jadda wa jadda, semuanya atas izin Allah jua. Pandai mengaji pun dari Allah jua, kita doa supaya anak terang hati. Doa ibu ayah ketika anak usia masih kecil ini insya Allah mujarab.







No comments:

Post a Comment