Monday 26 November 2018

Pengalaman dan Kepakaran, Kenapa Saya Berhenti Bekerja

Teks: Maslizatul Ayu 

Tidak pernah terdetik, mahupun terlintas yang saya akan berhenti kerja dan berkhidmat sepenuhnya buat keluarga kecil saya sebagai seorang suri rumahtangga sepenuh masa. Saya seperti anda semua, punyai impian selepas graduasi mahu bekerja dan sambung pelajaran sehingga lah ke tahap yang tertinggi. Tamat sahaja belajar di Universiti Islam Antarabangsa dalam jurusan psikologi saya sempat bekerja selama dua tahun sebagai pengurus di salah sebuah syarikat swasta.

2016, Saya bergelar suri rumah, sesuatu yang tidak pernah terdetik pun dalam fikiran. Ianya adalah asbab ilmu dari Tuhan. Sebelum nekad untuk berhenti daripada jawatan Pengurus Pusat Tuisyen Ibu Hamil Al Baghdadi, dua tahun memegang jawatan ini. Saya mengembara ke utara, ke selatan, ke timur dan ke barat mengikuti tim bagi menyebarluaskan ilmu pendidkan al-Quran sejak dari dalam kandungan. 

Memegang Ijazah Sains Kemanusiaan (Psikologi), berbekalkan semangat, ilmu yang ada dijadikan amalan. Saya seorang insan yang cuba untuk memahami setiap keadaan, jarang sekali memikirkan nasib badan, sukar untuk mengatakan tidak, hingga akhir sekali penat badan,penat minda dan penat emosi sehingga menganggu fikiran. Siang malam bekerja keras, demi menyempurnakan setiap tugasan. 

Sebelum bergelar suri rumah. Anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Memori kisah hidup dari zaman kanak-kanak seolah-olah banyak yang sudah terpadam. Lebih banyak ingatan yang sangat menyakitkan. Saya bukanlah anak yang cemerlang, akan tetapi anak yang naif dan banyak memberi bantuan. Disanjung tinggi oleh Emak dan Ayah kerana anak ini sahaja yang bergelar graduan ketika itu. 

Akan tetapi, pahit getir dirasai dari zaman sekolah rendah, dipulaukan oleh kawan-kawan. sungguh tidak pasti, apakah punca ini terjadi. Anak yang periang dan lincah bertukar karektor menjadi seorang yang pasif dan suka menyendiri. Emak dijadikan kawan rapat, mencipta mental blok, tiada kawan pun tidak menjadi masalah buat diri. 

Anak sulung yang manja, apa sahaja keinginan diberi sahaja. Tapi saya lupa, dan tidak diberi ingatan akan bagaimana harusnya saya mengemudi lautan kehidupan. Yang hairan nya, kawan yang memulaukan itu, semuanya perempuan. Apakah sebabnya wahai Tuhan? 

Saya dibesarkan di kawasan perumahan setinggan. Ayah seorang tentera darat, Emak pula seorang suri rumah sebelum bergelar usahawan. 
Cara Ayah mendidik kami penuh dengan kata-kata yang kurang enak didengar, masih ingat lagi ketika saya memasuki alam remaja, memerlukan kawan sebagai tempat luahan. Takut akan ayah, jadi lah saya seperti katak bawah tempurung tidak bersosial dengan kawan-kawan. 

Tahun 2013, pindah perumahan flat, sama juga keadaan. Personaliti introvert terus menebal dalam diri. Kajian membuktikan bahawa ayah memainkan peranan besar dalam perkembangan anak-anak dan mendapati kurang mengalami masalah disiplin, dan tidak terganggu dengan kemurungan. 

Kata orang, anak perempuan ini perlu rapat dengan ayah, saya tidak berpeluang kerana ayah garang yang amat. Mungkin ayah dibesarkan oleh orang tua yang hidup zaman penjajahan jadi kurang perasaan. 

Sedangkan saya yang tidak faham, sebenarnya cara ayah melontarkan kasih sayang berbeza dengan cara emak. Ayah pastinya perlu menunjukkan ciri-ciri ketegasan.

Masih ingat lagi, keputusan peperiksaan sentiasa merah sahaja. “Bodoh! Bangang! Soalan senang macam ini pun hang tak mampu jawab ke? Kata Ayah”. 

Ilmu Hisab, Ilmu Al-Quran, Ayah lah guru nya. Berbekas di kepala menahan peritnya balingan atau ketukan dari jari. Mahu mengaji al Quran, sudut paling hujung jadi pilihan. Baran sekali ayah dalam memberi pelajaran.

Belum dikira lagi, pulang bermain, sebelum Maghrib. Bulu ayam menjadi sebatan andai ingkar arahan. Sekali dengan bulu ayam itu saya sorokkan. Ketawa memikirkan. Nakal juga saya ini ya? 

Hidup saya banyak ikut-ikutan, hanya emak dan novel menjadi rakan. Ayah pula dijadikan idola dalam kehidupan. Kerana ayah yang terbaik untuk pilihan masa depan. Rindu senyuman ayah, lihat saja wajahnya apabila diletakkan puntung rokok di bibir merah bak delima merekah.

Biarpun bertahun hidup dengan kata-kata kurang enak dari bibir ayah, saya layankan. Kerana cara ayah yang tegas, panas baran itu menunjukkan kasih dan sayang. saya tidak mengganggap itu sebagai kebencian bahkan semangat. 

Ada sekali, memerhati seorang kawan menaiki pentas terima anugerah kecemerlangan. Dari situ, saya berimpian dan berangan, mahu memijak pentas yang sama dan menggulung anugerah yang bersesuaian.

Tahun 2004 dan 2005 menjadi saksi, Perpustakaan Negara senantiasa dikunjungi berbekalkan tekad di hati. Buku rujukan memenuhi sudut bilik, waktu tahajjud dijadikan waktu menyendiri dan mengulangkaji. 

Emak memerhati dan ikut sahaja apa yang diingini. Kerana beliau senantiasa menyokong dan mengerti. Slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini ditangan, menapak laju untuk di bawa pulang sambil senyum puas kegirangan.

Hati gembira bukan kepalang. diserahkan kepada ayah slip keputusan. Ayah melihat dan kelihatan matanya penuh sinaran. Lantas saya suarakan, “Ayah..Ayu tak bodoh kan? Ayu tak bangang kan ayah? ayah hanya mengangguk tanda mengiyakan. 

Bermula lah episod kehidupan, saya disanjung dan disayang. Apa jua keputusan melanjutkan pelajaran, saya yang tentukan, kerana ayah merelakan kerana percaya akan kebolehan.

Ayah ternyata silap! saya insan yang tidak pandai dalam memberi dan membuat keputusan. Saya berjumpa mereka yang arif, bertanyakan soalan dan sesuai apa jurusan. Setelah mendengar pendapat, Saya memilih untuk menyambung jurusan Sains Kemanusiaan (psikologi) kerana saya ingin mengenali diri dan memahami sekeliling yang mengganggu jiwa dan fikiran. Asbab trauma masa silam.

Tahun 2009 mendaftar diri di Matrikulasi, Tahun 2013 memegang Iijazah yang dihajati. Dilema mencari diri dalam erti kata mengenal diri masih menganggu lagi. Kawan-kawan semakin lama semakin menjauhi. Asbab dari diri yang tidak suka bercampur, buang masa mendengar cerita itu ini yang sekadar berbasa basi. 

Saya pun melangkah ke dunia luar cuba untuk mencabar diri. Siswazah lain aktifkan diri dalam persatuan , Saya pula aktifkan diri keduanya termasuk dalam dunia pekerjaan sampingan. 


Diterima sebagai tutor persendirian mengajar KAFA dan Al-Quran .Emak sanggup sponsor motorsikal buat kemudahan.Menambah sijil mengajar al-Quran dan juga Tajwid agar menjadi sandaran apabila wujud pertanyaan. Teknik Al Baghdadi menjadi pilihan. Jiwa Ayu tidak tenang, biarpun wang banyak di tangan. Rupanya tidak dibahagikan.

Ayah mula mendalami ilmu tasawwuf,ilmu hakikat, ilmu makrifat, dan ilmu taareqat sebagai panduan dalam kehidupan. 

Tahun 2000-2017 segar masih di ingatan. Ayah banyak berkongsi ilmu agama yang dipelajarinya. Di minta buka kitab dan baca tafsiran,tadaabbur setiap ayat. Saya, Emak dan adik-adik khusyuk menerima setiap syarahan. Syukur ke hadrat Tuhan, saya bisa memanfaatkan.

Emak punyai darah berniaga, seorang yang peramah dan mudah mesra. Membantu emak menjual kerepek dan kek pisang setiap pelosok kampung saya gagahi jua. Laungan, “Cik, nak beli kek pisang dan kerepek?, tanya saya” Ini kisah semasa masih sekolah rendah. Mungkin ini asbab kawan-kawan memulaukan, kerana malu berkawan dengan penjual jalanan. Rezeki 9/10 kan datangnya dari perniagaan.

Ditambah lagi, emak asah bakat menjual, diletakkan saya paling hadapan. Berniaga di Baazar Ramadhan, saya membantu Mak Long menjual puluhan jenis kuih muih sehingga di lamar Rancangan Radio Malaysia (RTM) untuk buat liputan akan tetapi ditolak kerana tak punya kekuatan. Rugi bila difikirkan, sia-siakan peluang. 

Awal Safar 2010, Emak mengumpul kekuatan, buka sendiri perniagaan kecil-kecilan sehingga kini usahawan perniagaan makanan. Melihat jerih payah seorang usahawan, saya tidak memasang impian untuk membuka perniagaan makanan. 

Tamat Ijazah, buka pusat pembelajaran Al Quran Teknik Al Baghdadi, memikirkan mungkin ini yang di cari. Enam bulan sahaja beroperasi, menerima lamaran Ibu Pejabat Al Baghdadi menjawat jawatan Pengurus Pusat Tuisyen Ibu Hamil Al Baghdadi. Sepanjang perjalanan bekerja, banyak yang tidak mencapai kepuasan diri.

Dilema mencari dan terusan mencari. Oh, rupa nya saya tidak mengenal kekuatan diri. Terus bermonolog sendiri, apa yang dicari? Bicara hati didengar Tuhan, dibuka pintu jalan apabila berhadapan dengan dugaan. Kelas Gerak dan Reformat Diri antara kelas yang didaftarkan. Dr Ahmad Yusri, guru perantara, maka bermula episod mencari ketenangan dalam mengenal diri yang paling dalam.

Tahun 2015, semakin rancak menggali ilmu mengenal diri. Dengan berilmu, mendidik diri lebih matang mendepani situasi. Ketika ini, sedang sarat mengandung puteri pertama. Aktif menganjurkan latihan dan pengurusan buat pengusaha dan guru-guru pusat pembelajaran. 

Tinggi penghayatan, kandung bayi dalam kandungan, baru lah memahami setiap isi modul ransangan Pendidikan al-Quran yang diusahakan bersama tim untuk dipersembahkan.

Kisah silam penuh dengan kecederaan emosi, menjadikan saya hidup terlalu ikutkan emosi. saya hadir kelas reformat diri kerana mahu buang segala pahit dan sakitnya memori. Dari kelas ini, belajar memaafi dan berserah diri. 

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasulullah bersabda; Sesungguhnya Allah berfirman : Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia MengingatKu…” (Ibnu Majah). Hadith ini dijadikan panduan hidup terus ke hadapan.


Mei 2015, saya mengikuti kursus sebagai konsultan cap jari. Lebih fokus kepada mengenalpasti potensi dan bakat semulajadi. Tuhan itu sungguh memahami. Bukankah diri minta untuk mengenal diri dan bakat semulajadi?. 

Ogos 2015,Fatihah Maisarah lahir ke dunia,  berbekalkan ilmu-ilmu yang telah dipelajari, bersedia untuk sepenuh masa menjadi Umi, nekad apabila tidak mempercayai pengasuh di taska dan nurseri. Tidak menyangka makan diri sendiri.

Tanggungjawab sebagai suri rumah sepenuh masa, bukan mudah. Perlu kuat dari segi mental,fizikal dan emosi. Saya fikir boleh kawal emosi sendiri, diuji anak demam, terduduk sendiri. Kemurungan melanda selama setahun. 

Sehinggalah saya bangkit, meletakkan diri di tahap paling rendah sekali, menadah tangan memohon bantuan Tuhan. Syukur punyai suami yang sudi menjadi pendengar setia di kala hati rawan. Tingkatkan pembacaan dan cari kawan-kawan positif.

Hidup sebelum ini terbiasa ada duit di tangan, sering boros dengan wang poket yang suami hadiahkan. Tidak menyangka dalam diam, emak memendam, anak yang disanjung akhirnya memilih untuk tidak bekerja, asuh anak-anak sahaja. 

Maka, Saya pun bergiat aktif mengembara bersama fatihah dalam membantu memodalkan pembangunan insan dengan topi konsultan. Demi memikirkan mahu menyempurnakan hajat emak untuk beri penghargaan.

November 2017, Aina Marissa lahir. Turun naik perniagaan, tidak mampu untuk beri emak ayah wang saku bulanan. Terus merasa diri tidak berguna, sekali lagi, Saya beremosi! Sungguh pedihnya di hati, apabila terlalu memikirkan seorang anak tidak mampu untuk berbakti. 

28 April 2018 Ayah pergi dijemput Ilahi, tersungkur menyalahkan diri. Saya sibukkan diri menggali ilmu, supaya tidak ikutkan emosi. Syukur ketenangan dapat dicari dan menerima takdir Ilahi.

Amanah menjadi suri, membesarkan dua orang puteri. Saya tetap teruskan misi, menjadi Suri bekerjaya dari rumah sambil mengasuh,mendidik anak-anak yang masih kecil lagi. Saya yakin, rezeki Allah itu pasti.

Mudah-mudah misi berbakti buat emak dan keluarga yang masih ada, Allah makbulkan dilapangkan rezeki buat saya selapang-lapangnya dari kurniaan rezeki yang tidak disangka-sangka. Menjadi suri, memberi kelapangan masa untuk saya berbakti dengan amanah yang Allah beri dalam hidup ini.y

Aamiin ya rabbal alamin 











No comments:

Post a Comment