Saturday 10 November 2018

Salam Perkenalan dari Nurul Maslizatul Ayu

Teks: Maslizatul Ayu

Assalamua'laikum wrt wbt


Salam Ukhuwah Salam Persahabatan


Alhamdulillah dengan izin Allah jua lah dapat saya wujudkan blog Al Quran Di Hati. Semoga dengan adanya wadah ini akan menjadi medan untuk saya menyebarluaskan ilmu serta berkongsi pengalaman kepada anda semua. Bukan lah kerana saya pakar dalam bidang ini tetapi dengan ilmu yang sedikit sebagai seorang umi kepada dua orang anak dan Perunding Teknik Al Baghdadi dari tahun 2012, saya suka untuk berkongsi dengan anda semua.  



Suka untuk saya memperkenalkan diri saya sebagai Nurul Maslizatul Ayu Binti Ilies. Saya dilahirkan di Taiping, Perak tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur. Bersekolah rendah dan menengah juga di Kuala Lumpur dan selepas itu melanjutkan pelajaran dalam jurusan Sains Kemanusiaan (Psikologi) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak pernah terfikir direzekikan menjadi siswazah Universiti Islam Antarabangsa, semuanya dengan izin Allah jua.  Dua tahun sebelum tamat nya Sijil Pelajaran Malaysia, semasa di tingkatan empat dan tingkatan lima potensi terserlah dan merangkul Anugerah Pelajar Cemerlang. Ketika itu, syarat untuk memasuki Universiti Islam Antarabangsa, Bahasa Inggeris perlu gred A. Hasil keputusan cemerlang ini, syukur tidak terhingga dapat membanggakan ayah dan juga emak.


Di bumi Universiti Islam Antarabangsa, mendidik saya mengenal Islam dengan lebih dekat. Di sini semuanya bermula, segala pengisian rohani,usrah, peningkatan kendiri dan pembentukan adab mendidik saya menjadi seorang manusia yang sentiasa dahagakan ilmu. Memenuhi masa yang terluang dengan mengikuti setiap aktiviti yang universiti anjurkan, dalam masa yang sama aktif dalam membimbing kanak-kanak, remaja dan dewasa belajar mengaji sebagai Perunding Al Quran teknik Al Baghdadi.

Bermulanya sebagai Perunding Al Quran Teknik Al Baghdadi pada tahun 2012. Ketika itu saya buat keputusan untuk menambah pendapatan sambilan, dipinang oleh En. Azhar pada ketika itu mahukan guru Al Quran mengajar di rumah. Saya dipinta untuk ditemu bual dahulu sebelum diterima mengajar anak-anak beliau seramai lima orang. Syukur Alhamdulillah, yakin akan pengalaman dan sijil yang dianugerahkan oleh Al Baghdadi Group Sdn Bhd kepada saya, kontrak selama lima tahun diikat.

Tamat belajar di Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 2013, saya membuat keputusan untuk membuka pusat pembelajaran Al Quran Teknik Al Baghdadi. Pengalaman mengusaha,mengurus, memasarkan dan menjadi tenaga pengajar sepanjang tempoh enam bulan membuka premis pusat pembelajaran Al Quran Teknik Al Baghdadi ini menjadikan Al Quran semakin lama semakin dekat di hati.

Disunting pula oleh Pengasas Teknik Al Baghdadi, Ustaz Qr. Jalaluddin bin Hj Hassanuddin untuk berbakti dan bekerja di bawah Ibu Pejabat Al Baghdadi Group Sdn Bhd sebagai pengurus Pusat Tuisyen Ibu Hamil Al Baghdadi pada Jun 2013 adalah sesuatu yang diluar jangkaan. Diberi amanah bersama tim Al Baghdadi dalam menghasilkan modul rangsangan pendidikan Al Quran Teknik Al Baghdadi sejak dari alam rahim  menjadikan saya rasa bersyukur ke hadrat Ilahi akan peluang yang sangat bermakna ini.

Menjelajah ke utara,selatan tanah air bersama tim Al Baghdadi demi memberi kesedaran akan kepentingan pendidikan Al Quran perlu diterapkan buat anak sejak dari kandungan lagi. Bekerja dalam suasana yang penuh dengan pendekatan islamik dan juga fokus nya lebih kepada perjuangan Al Quran, hati ini terdidik rasa rindu untuk bersahabat dengan Al Quran. Subhanallah, Terima Kasih Ya Allah atas peluang ini, walaupun tempoh berkhidmat bersama syarikat ini hanyalah selama dua tahun.

Perjalanan sebagai Perunding Al Quran Teknik Al Baghdadi ini tidak pernah terhenti, menamatkan khidmat di Syarikat Al Baghdadi Group pada tahun 2015 sebagai seorang Pengurus adalah kerana mahu memfokuskan diri menjadi suri ummah buat keluarga tercinta. Kini saya menerapkan juga pendidikan Al Quran Teknik Al Baghdadi buat dua orang puteri saya yang comel,aktif,lincah, bijak dan solehah insyaAllah hendaknya. Puteri sulung nama diberi Fatihah Maisarah usianya 3 tahun dan puteri kedua Aina Marissa 11 bulan, keduanya penyejuk mata penawar hati umi dan ayah.

Selamat berkenalan buat semua. Terima kasih sudi membaca blog saya ini.

Semoga anda mendapat walau sedikit manfaat dari blog ini, InsyaAllah😊

No comments:

Post a Comment