Thursday 15 November 2018

Kudrat Ayah, Ibu Mertua dan Anak-Anak serta Menantu

Teks : Maslizatul Ayu


Seawal jam 4:45pagi umi sudah siapkan baju, bekal sarapan dan lauk. Pagi ini mahu ke Sungai Haji Dorani, Sungai Besar menemani suami bertukang membangunkan rumah ayah beliau di sana. Jam 5:00pagi kejut suami dan angkat anak-anak masuk dalam kereta. Fatihah terjaga terus bertanya, kita nak ke mana umi? Ke kebun atok, Fatihah Maisarah balas umi. 
Hajat mahu musafir diperkenankan sambil mencari ilham menulis. Anak kecil, dah biasa sangat mahu apa ditunaikan. Hidup di bandar, tidak banyak aktiviti luar yang berunsurkan tanah, maka umi ambil ruang dan peluang untuk anak merasai bermain di kampung. Berangkatlah kami sebelum subuh menjelma. Kata ayah mertua, apabila naik sahaja bumbung rumah, Fatihah dan Aina sudah boleh balik kampung. Umi apa lagi, seronok bukan kepalang, biarpun kurang serba serbi di sana, tiada yang mampu patahkan semangat waja. hihi..
Kita solat Subuh di Masjid Sungai Buloh ya, kata suami. Isteri ikutkan sahaja sambil menyusukan Aina yang tersedar semasa bawa masuk ke dalam kereta. Seusai menyusukan, umi baringkan Aina di kerusi belakang, mata terasa berat tertidurlah sepanjang perjalanan sehingga lah suami kejut untuk tunaikan solat subuh. terkebil-kebil mata, terus masuk ke ruang masjid dan menuju ke ruang wudhu muslimat. Pintu dibuka, terlihat dua orang remaja lelaki tidur di ruangan muslimat. Urut dada terkejut, seorang terus keluar dan seorang lagi menyorok di tepi dinding.
Biarlah, Insya Allah tiada apa-apa, monolog dalam hati. Mereka menumpang tidur sahaja, kasihan akan tetapi tidak mahu memanjangkan cerita. Suis lampu dan kipas dipetik, telekung disarungkan, solat Subuh diteruskan sebelum habis waktunya. Saya masuk sahaja dalam kereta, kongsikan pada suami apa yang berlaku sebentar tadi, suami pun kehairanan dan tidak mahu mengulas panjang sebab tidak tahu hujung pangkal cerita. 
Perjalanan yang mengambil masa sehingga dua jam setengah terasa semakin singkat kerana tuntutan setiap hujung minggu ke sana. Suami dan adik beradik suami kadang-kadang bergilir membantu ayah dan ibu bergantung kepada tugasan kerja lain yang perlu dipenuhi. November ini sudah masuk bulan yang ketiga ulang alik dari Ampang ke Sungai Haji Dorani. Tempoh masa lama diambil adalah kerana tidak mengupah orang luar, semuanya hasil tulang empat kerat anak-anak lelaki, menantu dan ayah mertua semuanya.
Alhamdulillah, dah sampai. Kata saya pada anak-anak. Umi,  skoop Fatihah mana? Umi bawa tak? tanya Fatihah. Iya, umi bawa, ada dalam boot kereta.  Hari ini Ibu tiada sekali, nampaknya umi sahaja lah yang menggalas tugasan memasak sehingga lewat petang. Berkira-kira dalam kepala menu tengahari, ikan dan sayur nya perlu di beli di Pasar Awam Sungai Besar sebentar lagi. Ikan Bakar Air Asam boleh lah ya abang, tanya kepada suami. Suami pula jenis yang tidak cerewet mengiyakan sahaja.








Niat bawa anak-anak sekali ke sini hari ini demi menampakkan berapa perit payah nya untuk mendapatkan sesuatu. Bukan mudah untuk senang duhai anak-anak. Panas terik mentari, gigitan nyamuk, peluh membasahi bumi. Semuanya mahu dididik agar usah merungut di kemudian hari.Dalam masa yang sama mahu berkongsi juga bagaimana cara nya rumah dibangunkan. Dari cara basuhan simen nya, pacak tiang, pasang zink dan beberapa proses lagi maka terhasil sebuah rumah. 
Biarpun hanya tulang empat kerat, kepuasan jelas terasa hasil titik peluh bekerjasama membuat segala. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Ukhuwah sesama Atok,Oma, ayah, Umi, Pakcik, Makcik dan anak-anak kuat terasa. Semoga sampai satu masa, kenangan dan memori terpahat di ingatan, bahawasanya Fatihah dan Aina pernah ada bersama.
Duhai anak, bukan mudah untuk menyelusuri kehidupan yang penuh dengan ranjau duri, ingatlah kami senantiasa mendoakan yang baik-baik mengiringi kalian hingga ke akhir usia. 







Maslizatul Ayu
29 September 2018
Sungai Haji Dorani, Sungai Besar

No comments:

Post a Comment