Wednesday 21 November 2018

Tips dan Cara Ajar Anak Mengaji Untuk Ibu Hamil

Teks : Maslizatul Ayu

Anak-anak kecil,  otak mereka ibarat span yang mampu menyerap apa sahaja yang dipelajari daripada persekitaran. Hatta dari alam rahim lagi anak-anak sudah pun terdedah dengan persekitaran selama 9 bulan 10 hari. Disebabkan ini lah ibu-ibu hamil amatlah disarankan untuk melihat, mendengar dan berkata yang baik-baik kerana bayi dalam kandungan juga turut merasai yang sama. Baik yang di asuh, maka baik lah hasil nya begitu juga sebaliknya.

"Tidak ada seorang bayi melainkan ia dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapa merekalah yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nasrani atau Majusi"

Sabda baginda di atas sangat penting dalam menentukan perkembangan ke atas anak-anak yang boleh ibu dan bapa corakkan sedari kecil. Kajian sains mendapati kapasiti otak anak-anak apabila mencecah usia dua tahun iaitu 80% menyamai orang dewasa. Ini membawa maksud, sedari bayi lagi kita sebenarnya digalakkan mendidik anak-anak dengan pendidikan awal yang mahu kita terapkan buat mereka, kerana anak-anak mampu menyerap banyak maklumat. Rugi pula andai tidak dimanfaatkan.

Saya tersentak dan terpukul apabila membaca kata-kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah ini; "Barangsiapa yang sengaja tidak mengajarkan apa yang bermanfaat kepada anaknya dan meninggalkannya begitu sahaja, bererti dia telah melakukan suatu kejahatan yang sangat besar. Kerosakan pada diri anak kebanyakannya datang dari ibu bapa yang meninggalkan mereka dan tidak mengajarkan kewajipan-kewajipan dalam agama serta sunnah-sunnah nya"

Asbab ini, saya rasa ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya atas anak sebagai amanah yang akan dipertanggungjawakan di akhirat nanti. Apa yang saya pelajari, saya amalkan sejak anak-anak dalam kandungan lagi. Rata-rata ibu bapa hari ini ingin anak-anak nya menghafal al Quran dari awal usia, bagi saya pula saya perkenalkan dahulu surah al Fatihah, zikir-zikir pendek dan barulah juzu amma. Sebelum terapkan buat anak-anak, saya perlu jadi contoh utama sebagai cerminan yang boleh anak-anak duplikasi.

Saya kongsikan tips ajar anak mengaji dari kecil yang saya konsisten buat sejak saya ketahui saya hamil. Suka untuk saya ingatkan, apa yang ibu dengar, lihat dan rasa, anak dalam kandungan juga turut mendengar, melihat, merasa sepertimana ibunya.

1. Niat

Niat adalah akar dalam setiap tindakan. Niatkan buat sesuatu itu kerana Allah. Sepanjang proses mendidik bayi dalam kandungan, saya akan niatkan lillahi taala dan pengharapan pada Allah semata-mata. Semua yang berlaku atas kehendak Nya, saya hanya berusaha dan tidak meletakkan apa-apa pengharapan kepada manusia. Niat sebegini mendidik saya agar tidak kecewa dan memaksa anak-anak. Saya jalankan tanggungjawab sebagaimana fitrah yang anak perlukan.

2. Bangun Tidur

Sambil usap perut, saya akan memberi salam pada bayi dan berbual. contoh ayat saya begini setiap pagi berbual dengan bayi saya, " Assalamualaikum anak umi, apa khabar anak umi pagi ini? Alhamdulillah, Allah izinkan kita bernafas lagi pagi ini. Mana anak umi ni, mari sini umi cari nadi anak umi ni." Usia kandungan 1-4 bulan, ibu-ibu mungkin belum dapat rasa kehadiran anak, tapi tetap teruskan kerana anak mendengar. Apabila usia kandungan 4-9 bulan, ketika ini kita akan dapat rasa denyutan nadi yang kuat, dapat rasa tendungan anak,pergerakan anak, ketika ini Masya Allah semakin kuat perasaan ibu ingin berbual-bual boleh ditingkatkan.

Ceritalah perkara yang baik pada bayi, kongsikan sesuatu yang beri manfaat berterusan. Bayi sedang belajar dari apa yang kita tunjukkan cuma bayi tiada depan mata sahaja. Semakin kerap kita berbual sambil mengusap perut, semakin tinggi bonding dan semakin kuat kita akan dapat respons anak mendengar dari hint 'tendangan anak'. Saya beri contoh, saya mengajar anak mengaji , selesai ayat pertama saya akan tanya anak dan usap perut, "Sayang umi, andai sayang dengar dan dapat apa yang umi ajarkan ini, respon dengan menendang sekali". Kali pertama mungkin kita tidak mendapat sebarang reaksi, kekerapan pengulangan setiap hari mengajar anak, InsyaAllah ibu akan rasa seronok sekali apabila anak respon yang beliau menerima.

Cuba lah ya!

3. Pasangkan zikir sepanjang masa di mana jua sejak anak dari dalam kandungan

Semasa saya hamil, setiap pagi dan petang saya akan pasangkan cd zikir terapi oleh Hafiz Hamidun. Kekerapan saya memasang cd ini setiap hari pergi dan pulang dari kerja dan cd ini akan dimainkan sehinggalah sampai destinasi yang dituju. Ayat-ayat Allah dari zikir ini berupaya mendidik diri tenang dalam apa jua situasi. lagipun zikir-zikir ini bagi saya adalah sesuatu yang ringan untuk otak menerima selepas penat dengan tanggungjawab harian.

Ketika berada di tempat kerja atau di rumah yang membataskan saya untuk zikirkan sendiri, saya akan menggunakan bantuan dari alat elektronik sebaik mungkin. Tanpa henti dan tanpa jemu, demi mendidik amanah dalam perut ini.

4. Baca dengan nada kuat sambil belai perut

Tips ini amatlah bagus diamalkan kerana sebagai ibu hamil, ingin mendidik dan mengajar anak walaupun anak masih dalam kandungan tersangatlah mudah tapi sukar untuk istiqomah.

Saya menetapkan untuk membaca al quran selepas solat, surah yang saya tetapkan untuk baca adalah jantung al Quran iaitu surah Yasin dan surah al Fatihah. Baca dengan nada kuat antara saya dan anak dalam kandungan sambil membelai perut. Setiap hari, konsisten tanpa henti saya usahakan. Ada ketika diluar kemampuan, saya akan pasangkan surah-surah dari telefon pintar.

Anak dalam kandungan sebenarnya kenal akan suara umi nya, secara tidak langsung saya mendidik anak agar kenal akan suara ini supaya talian antara umi dan anak kuat. Pertalian atau bonding ini perlu kerana terciptanya kasih dan sayang dari Ya Rahman dan Ya Rahim.

Rezeki saya semasa mengandungkan anak pertama dikelilingi dengan suasana al Quran, menjadikan saya sentiasa positif dan mendengar ayat-ayat al Quran sepanjang masa. Proses mengandung selama tempoh 9 bulan 10 hari tiada alahan yang teruk, dan mudah sahaja. Alhamdulillah, yakin akan Zat dari Ayat-ayat Allah. Kita juga boleh menentukan suasana yang bagaimana ingin kita tetapkan dalam kehidupan seharian kita. Berhenti kerja, saya mengandungkan anak kedua, saya teruskan juga sepertimana anak yang pertama.

Kajian mendapati, sel-sel otak bayi berhubung dengan pesat sekali, banyak yang kita ajar pada bayi, insyaAllah hasilnya kita akan dapat saksikan ketika anak usia dua tahun kelak.

5. Pengurusan Emosi

Ibu Hamil tidak boleh terlepas dari emosi yang tidak stabil. Saya pernah terbaca bahawasanya andai mahu anak yang senang diurus, ibu haruslah jaga emosi dan sentiasa amalkan teknik pernafasan yang betul. Terdapat banyak buku yang berkongsi tips bagaimana ibu hamil perlu belajar tenangkan diri melalui teknik pernafasan, teknik senaman, teknik visualisasi dan banyak lagi.

6.  Sebelum Tidur

Ketika ini umi dan ayah dalam keadaan mode untuk rehat selepas kerja seharian. Saya akan beri tanggungjawab kepada suami untuk bercerita, berbual sambil mengusap perut. Jangan terkejut, anak-anak akan respons pada suara yang dikenali melalui tendangan ya! Subhanallah, hebat ciptaan Allah. Sepertimana saya mahu ikatan saya dan bayi kuat, begitu juga saya mahu ikatan bayi dan ayah nya juga kuat.

Sebelum lelapkan mata, saya akan ambil peranan menzikirkan sendiri zikir fatimah, zikir hasbi rabbi apa jua zikir yang terlintas sambil membelai perut sehinggalah saya terlelap. Saya seolah-olah zikirkan anak supaya anak tidur bersama saya.

7. Ulang, ulang dan terus ulang tanpa jemu

Konsisten dalam apa jua pembelajaran yang ingin diterapkan buat anak sedari dalam kandungan. Kekerapan berbual, mengusap membelai perut, memasang alunan ayat-ayat al Quran dan zikrullah adalah langkah awal dalam mendidik anak dekat dengan al Quran, cinta akan ayat-ayat Allah.

Insya Allah, perkongsian selepas ini saya akan kongsikan Tips mengajar anak mengaji dari usia 0-2 tahun. Terima kasih sudi membaca, semoga memberi manfaat buat anda semua. Pesan seorang sahabat buat saya ..

Kalau kita cintakan seseorang..
pasti kita ingin bertemu selalu.
Kalau kita cintakan Allah..bertemulah selalu dalam zikrullah,
bertemulah selalu didalam solat,bertemulah selalu di rumah Allah,
berpegang teguhlah kepada Al-Quran dan As Sunnah. "

Alhamdulillah a'la kulli hal



No comments:

Post a Comment