Monday 26 November 2018

3 Tips Anak Amalkan Zikrullah sebagai lagu harian

Teks: Maslizatul Ayu

Hati umi mana yang tidak girang apabila melihat anak-anak menjadikan zikir sebagai lagu harian tatkala tergerak untuk melafazkan nya. Pendekatan yang dilakukan saban hari tanpa jemu adalah umi mengawal setiap siaran yang mahu dipertontonkan buat anak-anak di rumah. Usaha ini membuahkan hasil yang sangat mengujakan dan tempoh masa yang diambil dari anak usia 0 tahun sehinggalah anak sudah pandai bercakap.

Tips yang ingin dikongsikan adalah bagaimana cara anak-anak mampu membasahkan bibir dengan zikrullah tanpa paksaan:

1. Umi dan Ayah sebagai contoh utama

Saya sentiasa set kan dalam diri, mahu anak-anak lafazkan zikir di mana jua tidak kira masa. Maka, saya suka ambil peranan setiap kali mahu tidurkan anak-anak, zikir fatimah dan beberapa lagi jenis zikir saya akan lagukan sehinggalah anak tidur. Tidak ketinggalan ketika memandu dan duduk sahaja sambil peluk anak-anak saya bisikkan di telinga dendangkan zikir tanpa jemu.

2. Menegur anak, lafazkan istighfar. Takjub akan kebesaran Allah lafaz Hamdalah, Masya Allah dan Subhanallah.

Setiap kali saya geram akan sikap anak-anak, selain dari menyebut ‘anak bertuah’, saya akan tinggikan intonasi perkataan istighfar “Astaghfirull ah al a’zim”. Maka anak-anak akan kenalpasti setiap perkataan yang saya sampaikan membawa mesej-mesej yang tertentu. Perkataan istighfar, tahu lah  mereka yang saya sedang marah.

Wow cantik nya! Saya tukarkan kepada Masya Allah, Subhanallah cantiknya pelangi itu!

3. Simpan zikir-zikir dan surah dalam pendrive dan TV Al Hijrah

Sejak mempunyai dua orang cahaya mata, saya semakin kurang membuka siaran kegemaran di televisyen. Hal ini kerana saya mendapati lebih banyak lagha berbanding manfaat melainkan ada juga siaran yang sarat dengan ilmu. Pilihan saya kebanyakan nya TV1 dan TV Al Hijrah. Anak-anak 0-3 tahun ini hanya ikutkan sahaja apa yang diberikan, tidak banyak karenah.

Maka,pembelajaran yang saya mahukan buat anak-anak telahpun dipilih dan tugas saya mainkan sahaja berulangkali, secara tidak langsung saya sendiri semakin hafal setiap zikir dan surah-surah dalam al Quran. Syukur suami pun jenis yang tidak gemar melanggan Astro sekadar sediakan box freeview siaran digital tersebut, dapatlah saya masukkan pendrive dan mainkan berulang kali.

Tempoh masa yang saya selalu ambil untuk mainkan zikir ialah sehari 3 kali, ulangan nya sebanyak 7kali. Walaupun anak tidur saya tetap pasang akan ttetapi volume diturunkan sekadar mendayu-dayu sahaja zikir dan surah-surah tersebut. Saya yakin akan kehebatan minda separa sedar yang Allah berikan kepada kita. Anak-anak kecil sibuk bermain, dan ibarat saya memberi makan buat otak mereka dengan mendengar ayat-ayat Allah.

Video dibawah ini saya sempat rakamkan sekejap, banyak moment yang saya terlepas untuk merekodkan. Fatihah Maisarah dalam video ini berusia 3tahun 3bulan, ketika menunggu saya untuk meneruskan pemanduan, beliau dendangkan zikir secara spontan. Bilamana saya katakan saya tidak dengar, suara beliau semakin perlahan. Malu agak nya apabila tahu saya mahu rekod. Hihi..bertuah anak ini.












No comments:

Post a Comment